Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berucap ketika hadir ke pembukaan Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah Kota Sarang Semut, Alor Setar, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 03 SEPTEMBER 2022.

ALOR SETAR – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang meminta pengundi bukan muslim memberi peluang kepada parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk melaksanakan pendekatan Islam.

Katanya, pendekatan yang diambil oleh Islam lebih baik dan adil berbanding ideologi ciptaan manusia yang gagal.

“Bagi menembusi kawasan majoriti bukan Islam dan undi penentu di kawasan majoriti Islam, Pas akan terus membuktikan kemampuan untuk menjuarai isu-isu rakyat, urus tadbir yang baik, memberikan khidmat kebajikan, melaksanakan konsep adil untuk semua.

“Dan membuktikan jaminan hak beragama kepada bukan Islam tidak akan tergugat di bawah kepimpinan Pas.

“Kepada rakan-rakan bukan Islam, berilah peluang kepada Pas untuk melaksanakan pendekatan Islam yang lebih baik dan adil dan lihatlah kegagalan ideologi ciptaan manusia yang tidak ada kaitan dengan agama dan bangsa sendiri,” kata Abdul Hadi.

Beliau menyampaikan Ucapan Dasar Presiden Pas sempena Muktamar Tahunan Pas ke-68 yang berlangsung di Kompleks Pas Kedah, di sini, hari ini.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berucap ketika hadir ke pembukaan Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah Kota Sarang Semut, Alor Setar, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 03 SEPTEMBER 2022.

Menarik sokongan bukan Islam kepada parti itu adalah sebahagian daripada strategi Pas untuk memenangi PRU-15.

Selain itu menurut beliau, faktor kritikal kemenangan Pas dalam PRU15 ialah sejauh mana jentera pilihan raya berupaya untuk menguasai sikap pengundi muda.

Kumpulan itu sebahagian besarnya merupakan pengundi pertama kali yang dikatakan tidak berminat dengan isu-isu politik.

“Undi penentu daripada kalangan anak muda lelaki dan wanita perlu menjadi tumpuan dan sasaran, khususnya dalam kalangan umat Islam sendiri yang jahil agama dan lebih jahil lagi dalam aspek politik yang menjadi penentuan masa depan umat,” kata Abdul Hadi.

Dalam ucapannya itu Abdul Hadi turut berkongsi manifesto parti itu pada PRU15.

Ini termasuk langkah bersepadu untuk penyusunan semula struktur ekonomi negara, merapatkan jurang kaya-miskin, mengurangkan kos sara hidup, menghapuskan peranan ‘orang tengah’ yang mengaut keuntungan melampau, membangunkan industri hiliran.

Mencipta peluang pekerjaan, membangunkan bakat tempatan,
dan menyediakan perumahan mampu milik.

“Manifesto yang kita tawarkan ini, bukan sekadar janji kosong
seumpama pihak lain, tetapi suatu perencanaan yang boleh
dilaksanakan insya-Allah, malah sebahagiannya telah pun
dilaksanakan oleh Pas sendiri di negeri-negeri, kementerian
dan GLC,” kata Abdul Hadi.

Sementara itu Abdul Hadi berkata, Kelantan, Terengganu dan Kedah yang telah dikuasai adalah ‘Negeri Pengkalan’ yang wajib dipertahankan.

Kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang telah dimenangi di beberapa negeri juga perlu diberikan perhatian. -MalaysiaGazette