Lenggeng Suhaimi Kassim kerusi
Suhaimi Kassim

SEREMBAN – “Jika jalan rumahnya yang dikeluhi, ramai lagi orang susah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng ini yang patut dibantu,” demikian jawapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Suhaimi Kassim berhubung isu kerosakan jalan yang teruk di hadapan rumah penyanyi popular era 90-an, Dayangku Intan di Lenggeng, dekat sini.

Dalam mesej WhatsApp kepada MalaysiaGazette, beliau memberitahu, Pejabat ADUN Lenggeng sentiasa membantu mereka yang benar-benar memerlukan dalam erti kata sebenar.

“Jika diikutkan, dia bukan susah dalam erti kata sebenar. Sebelum ini, pernah dapat projek pasir di Johor selama beberapa tahun.

“Dia sendiri pernah dalam PKR. Selepas itu keluar. Kenapa?” soalnya.

Ketika berkongsi luahan dalam video Instagram miliknya baru-baru ini, Dayangku Intan atau nama sebenarnya, Tengku Intan Tengku Abdul Hamid kesal kerana kerajaan Negeri Sembilan yang kini di bawah Pakatan Harapan (PH) didakwa tidak banyak membantu menyelesaikan masalah yang dihadapinya sekeluarga.

Dayangku Intan menjelaskan, beliau telah membuat permohonan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri sejak 2016 dan usaha telah dimulakan oleh pentadbiran Datuk Seri Mohamad Hasan yang menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan ketika itu.

Namun, dakwanya, Negeri Sembilan bertukar kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan sejak itu, tiada tindakan lanjut diambil untuk membaik pulih jalan yang rosak teruk sehingga sukar dilalui kenderaan.

Suhaimi Kassim turut menafikan pihaknya dan kerajaan Negeri Sembilan tidak mengambil tindakan terhadap masalah kerosakan jalan yang dibangkitkan Dayangku Intan itu.

Menurut beliau, pihaknya pernah menziarahi dan memberi bantuan kepada Dayangku Intan pada 2018.

Exco kerajaan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon (paling kiri) pernah mengunjungi Dayangku Intan (dua dari kanan) di kediamannya di Lenggeng pada 2018. Foto: Kiriman Suhaimi Kassim

Suhaimi mengakui bahawa beliau tidak dapat menunaikan permohonan Dayangku Intan untuk menurap jalan masuk ke rumahnya atas beberapa sebab.

“Rumahnya adalah rumah persinggahan dan bukan rumah tetap. Rumahnya yang sebenar ada di Kuala Lumpur.

“Kos membuat jalan adalah mahal. Tanahnya adalah tanah persendirian. Seterusnya tidak ada rumah selain rumahnya.

“Permohonannya juga tidak akan diluluskan oleh pihak kerajaan kerana tidak menepati syarat yang dibenarkan,” jelasnya

Suhaimi menambah, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Batu 9 Pantai, di sini, pernah menziarahi dan menyampaikan bantuan kepada Dayangku Intan.

Beliau turut difahamkan, Dayangku Intan tinggal di tepi hutan Lenggeng atas nasihat doktor bagi menjaga kesihatan suami dan anaknya. – MalaysiaGazette