KUALA LUMPUR – Suami pelakon Mira Filzah, Wan Emir Astar atau Emir, 32, menyifatkan seorang wanita yang cukup luar biasa dan mengagumi keperibadiannya sepanjang dua tahun membina rumah tangga bersama cukup indah.
Menerusi hantaran di media sosial pasangan itu, Emir turut melahirkan rasa bertuah dikurniakan seorang isteri terbaik.
“Nur Amirah Filzah Isteriku Syurgaku, di mataku, dirimu insan luar biasa. Banyak pengalaman tercipta, memori terukir sejak kita membina rumah tangga bersama dua tahun yang lalu.
“Ada suka dan duka, ada pengorbanan dan kejayaan. Tetapi apa yang pasti adalah sifat semula jadi dirimu yang cukup penyayang, pemurah dalam berbudi dan berbakti, memberi terbaik dan segalanya dalam sesuatu perkara.
“Sifatmu ini terus dan sentiasa menawan hatiku terhadap dirimu wahai isteriku, dan menjadi inspirasi dan peringatan buat diriku sendiri setiap hari,” tulisnya.
“Kami tunjukkan ciri serta ikatan keibuan yang luar biasa sejak kita mendapat tahu mengenai kehadirannya. Saya semakin nampak dengan jelas bagaimana bersungguhnya kamu menjaganya dan besarkan keluarga kita.
“Bersama kita berdoa dan zahirkan keinsafan dan kesyukuran, moga usaha kita dalam membina keluarga yang sakinah mawaddah dan rahmah, sentiasa dilindungi dan dipimpin-Nya, aamin YRA,” katanya.
Pasangan itu berkahwin pada 3 September 2020 sebelum Mira berkongsi mengenai kehamilannya pada Januari lalu. – MalaysiaGazette