Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah merasmikan Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Pahang di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Meskipun sudah lebih enam tahun menanti, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah masih berharap dan bertitah agar hukuman diyat dapat dilaksanakan di negeri ini dan seluruh negara.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika berkenan mencemar duli Majlis Perasmian Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Pahang di sini mengutarakan hasrat itu di hadapan hampir 1,000 tetamu jemputan.

“Saya berharap hukuman diyat dapat dapat segera dikaji dan dilaksanakan segera selepas agak lama dicadangan bertahun-tahun.

“Lima atau enam tahun saya telah mengemukakan cadangan perkara itu tetapi masih lagi diperingkat kaji dan kajian, berbincang, sampai tua, saya sudah bercucu,”titah baginda ketika merasmikan Kompleks Syariah Al-Sultan Abdullah di Kuantan pada Isnin.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Hadir mengiringi keluarga diraja ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersama isteri, Datin Seri Dato Burhah Mohammed

Hukuman Diyat ialah harta yang wajib dibayar dan diberikan oleh penjenayah kepada wali atau waris mangsa sebagai ganti rugi disebabkan jenayah yang dilakukan oleh penjenayah ke atas mangsa.

Sementara itu baginda juga bertitah agar kes-kes di Mahkamah Syariah seperti kes kekeluargaan harta pusaka dapat diselesaikan dengan secepat mungkin agar tiada kes tertunggak dan membantu kedua-dua pihak mencapai keadilan dalam keputusan mahkamah. – MalaysiaGazette