Foto Facebook Kelantan FC.

KUALA LUMPUR – Pengendali Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya menyifatkan pasukan kendaliannya harus menerima kenyataan pahit selepas kekalahan 1-2 kepada Selangor FC 2 menyaksikan peluang semakin tipis untuk meraih trofi musim ini.

Apatah lagi dengan kemenangan Johor Darul Tazim II ke atas Terengganu FC II semalam meletakkan mereka kini di takhta Liga Premier dengan 39 mata.

Dan beliau tidak menolak pasukannya mungkin merasa tertekan dengan misi untuk menjuarai liga, sekali gus hilang fokus sehingga memberi ruang kepada pasukan lawan untuk mengejar.

“Memang kita rasai tekanan demi tekanan sejak bermula pusingan kedua liga sebab kita sentiasa berada di atas.

“Kita memang tidak boleh buat kesilapan sebab pasukan lawan yang berada di bawah kita masing-masing ingin mengejar dan kenyataannya adalah mereka ingin kalahkan pasukan yang berada di atas.

“Jadi kesilapan kita adalah kita tidak dapat menyerap tekanan ini dan akhirnya membuat kesilapan.

“Peluang masih ada tetapi sangat-sangat tipis, jadi kita kena segera perbaiki kesilapan yang telah dilakukan”, jelasnya.

Dalam pada itu, ketua jurulatih Selangor FC 2, Rusdi Suparman bangga dengan usaha anak buahnya yang bejaya meledak dua gol dalam tempoh 45 minit pertama.

Sedar dengan misi Kelantan yang ingin mencuri mata bagi merebut trofi Liga Premier, Rusdi bagaimanapun tetap mahu barisan pemain tidak memberi laluan mudah dan akan cuba menyekat kemaraan JDT II pada aksi terakhir liga nanti.

“Kita sedia maklum dua pasukan ini (Kelantan FC dan JDT II) menang nak merebut trofi, jadi kita dah berjaya ambil kesempatan ke atas Kelantan.

“Dengan JDT pula kita akan cuba sebab kita tahu JDT memang pasukan baik daripada jaringan gol dan di situ kita nak pemain-pemain untuk lebih berusaha dan memberi idea untuk pasukan mencapai kemenangan.

“Insya-Allah kita akan memberi persembahan terbaik lebih-lebih lagi itu perlawanan terakhir untuk liga pada tahun ini”, katanya.

Kedudukan terkini Liga Premier menyaksikan JDT II selesa di takhta liga dengan 39 mata diikuti Kelantan FC di tangga kedua apabila dibezakan dengan tiga mata dan Kuching City FC di kedudukan ketiga. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast