AMPANG – Seorang wanita yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta dituduh membunuh anak kandungnya di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Tertuduh, warga tempatan, Zainah Misdin, 34, mengangguk kepalanya sebagai memahami pertuduhan selepas pertuduhannya dibaca oleh jurubahasa di hadapan Majistret Amalina Barisah Md Top.
Terdahulu wanita itu yang bertelekung merah jambu dibawa dengan tangan bergari menaiki trak polis dan masuk ke dalam kamar bicara mahkamah pukul 9.15 pagi tadi.
Mengikut fakta pertuduhan, Zainah didakwa bersama-sama dengan seorang lagi yang masih bebas sebagai mencapai niat bersama telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Muhammad Radhif Zafran Muhammad Ruzem berusia enam bulan.
Ibu kandung mangsa itu didakwa melakukan perbuatan itu pada 23 Ogos lalu di rumah beralamat 32e, Jalan Seladang 2, Kampung Klang Gates, Kuala Lumpur.
Jika disabitkan kesalahan tertuduh boleh dihukum mati di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama.
Pendakwaan telah dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ameera Sam Kamaruddin manakala tertuduh diwakili oleh peguambela Swinder Singh.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh memandangkan kes adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi dan tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh.
“Dalam kes ini beberapa dokumen masih belum sedia. Saya mohon satu tarikh untuk sebutan bagi laporan perubatan penuh, bedah siasat dan laporan kimia,” kata Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ameera.
Mendengar hujah Nurul Ameera, mahkamah menetapkan 6 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
ARTIKEL BERKAITAN: Wanita ditahan bantu siasatan kematian anak
Terdahulu Ketua Polis Daerah Ampang mengesahkan pada 27 Ogos lalu pegawai perubatan di Zon Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Tunku Azizah menerima mangsa bayi berusia enam bulan dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat muntah dan sawan.
Mangsa yang dibawa oleh ibu kandungnya yang juga suspek selepas diperiksa mendapati terdapat kesan lebam di bahagian peha kanan dan kening atas mata sebelum mengesyaki terdapat unsur penderahan.
Bertindak atas maklumat ibu kandung mangsa telah ditangkap polis pada 29 Ogos lalu di lobi utama, Tingkat 2, Hospital Kuala Lumpur.
Suspek bagaimanapun mengaku tidak membunuh anaknya itu tetapi mengaku mangsa mengalami kecederaan di dahi dan kening akkibat terjatuh dari katil semasa dalam jagaannnya beberapa hari sebelum kejadian mangsa dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.
Polis masih dalam usaha memburu seorang lagi suspek iaitu suami kepada wanita tersebut disyaki bapa kandung mangsa yang masih menghilangkan diri. -MalaysiaGazette