Asisten komisioner Mohamad Farouk Eshak

KUALA LUMPUR – Seorang wanita warga tempatan yang bekerja sebagai pembantu kedai elektrik ditahan polis di Hospital Tunku Azizah (HTA), di sini, semalam bagi membantu siasatan berhubung insiden kematian anaknya di Kampung Klang Gate pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pada jam 5.30 petang hari tersebut, Pegawai Perubatan di Zon Jabatan Kecemasan & Trauma di hospital itu menerima pesakit, bayi berusia enam bulan dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat muntah dan sawan.

“Setelah pemeriksaan dijalankan pegawai perubatan itu terkejut apabila terdapat kesan lebam di bahagian peha kanan dan kening atas mata mangsa sebelum mengesyaki terdapat unsur penderaan secara fizikal pada pesakit itu.

“Bertindak atas aduan dan maklumat pegawai perubatan itu, pada Isnin jam lebih kurang 8.40 malam, sepasukan polis dari D9 BSJD Ampang Jaya telah membuat tangkapan terhadap suspek wanita disyaki ibu mangsa berkenaan di Lobi Utama Tingkat 2, Hospital Wanita & Kanak-Kanak, Hospital Tunku Azizah, Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, suspek yang ditahan tidak mengaku membunuh mangsa namun mengaku mangsa mengalami kecederaan di bahagian dahi dan kening akibat terjatuh dari katil semasa dalam jagaannya beberapa hari sebelum bayi itu dibawa ke hospital.

Menurut Mohamad Farouk, wanita yang berusia 34 tahun itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing tetapi mendapati beliau bebas daripada penggunaan dadah.

Katanya, suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Ampang pagi tadi dan direman tujuh hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan.

Jelasnya, kes disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh orang dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati.

Sementara itu, Mohamad Farouk memberitahu, polis sedang mengesan suami suspek, lelaki warga Indonesia berusia 31 tahun, untuk membantu siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi  Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya di talian 03-42897222. – MalaysiaGazette