Seorang pekerja warga asing terselamat selepas jentera ekskavator tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di perlombongan bijih besi di Banting tengahari tadi. Gambar Ihsan IPD Kuala Langat

KUALA LUMPUR – Seorang pekerja warga asing melalui detik cemas apabila jentera ekskavator yang dikendalikannya di tapak lombong bijih besi di Kampung Labohan Dagang, Banting, Selangor tertimbus tanah pada tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Banting, Superintendan Ahmad Ridzwan Mohd Nor@Salleh berkata, siasatan polis mendapati tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan dalam kejadian tanah runtuh itu.

“Satu jentera mesin ekskavator telah tertimbus oleh runtuhan tanah dan pemandunya sempat keluar dan menyelamatkan diri,” katanya menerusi kenyataan, malam ini.

Tambah beliau, usaha mengeluarkan jentera ekskavator yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh giat dijalankan oleh pihaknya.

Katanya, mangsa yang berusia 40-an berjaya menyelamatkan diri.

“Namun setakat ini, polis belum menerima sebarang laporan berkaitan kejadian tersebut daripada mana-mana pihak.

“Akan tetapi syarikat perlombongan berkenaan akan membuat satu laporan polis berkaitan insiden itu dalam masa terdekat,” ujarnya.

Klip video berdurasi 18 saat menunjukkan beberapa pekerja di tapak perlombongan itu menjerit ke arah rakan sekerjanya yang mengendalikan jentera eskavator supaya menyelamatkan diri selepas mereka melihat runtuhan tanah. – MalaysiaGazette