Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim bercakap pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Wilayah Perseketuan Sukma XX MSN 2022 di Menara Seri Wilayah, Putrajaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 06 SEPTEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim mengakui beliau jijik untuk menyebut nama Lokman Noor Adam yang sering memaki Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, tindakan itu tidak boleh diterima kerana Ismail Sabri merupakan ‘poster boy‘ Perdana Menteri bagi parti itu untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Tegas beliau, sebelum ini MKT UMNO juga secara sebulat suara membuat keputusan itu  dan ia masih kekal sehingga hari ini serta mendapat sokongan rakyat.

“Saya hendak beritahu dan tidak mahu sebut namanya serta tidak perlu diketangah secara hebat. Kita pun tidak tahu dia siapa.

“Yang saya tahu, dia bukan AJK bahagian, cawangan tapi bercakap seolah-olah jurucakap UMNO dan dia maki Perdana Menteri.

“Mana boleh begini, saya rasa dia tidak wajar diberi pengiktirafan mana-mana pihak terutama ahli-ahli UMNO.

“MKT UMNO sudah buat keputusan poster boy Ismail Sabri dan tidak ubah serta rakyat menyokong beliau. Saya sampai satu masa rasa jijik hendak sebut nama orang ini kerana sering memaki Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Wilayah Persekutuan Ke Sukma 20 MSN 2022 di kementeriannya di sini hari ini.

Shahidan diminta mengulas tindakan Lokman yang sering menyerang Ismail Sabri di media sosial sejak kebelakangan ini.

Minggu lalu, Lokman yang juga bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO didakwa di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan membuat dan memulakan komunikasi jelik terhadap Ismail Sabri dan kerajaan.

Lokman, 49, mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu yang didakwa dilakukan melalui aplikasi Facebook atas nama profil “Lokman Noor Adam Official” dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Mengulas lanjut, Shahidan berkata, Lokman perlu dikenakan tindakan undang-undang kerana memburuk-burukkan Perdana Menteri dan institusi kehakiman.

Tegas beliau, Lokman tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan dan melemparkan tuduhan liar serta tidak berasas terhadap Ismail Sabri lebih-lebih lagi secara terbuka di media sosial. – MalaysiaGazette