BATU KAWAN – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang mengeluarkan notis larangan menjalankan kerja terhadap sebuah tapak pembinaan di Taman Perindustrian di sini susulan berlaku satu kemalangan maut membabitkan pekerja kontraktor.
JKKP dalam satu kenyataan berkata, kemalangan membabitkan pekerja warga Bangladesh itu berlaku pukul 12 tengah hari Ahad lalu.
Katanya, JKPP telah ke lokasi kejadian dan menjalankan siasatan selepas menerima aduan mengenai insiden berkenaan.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika pekerja tersebut menjalankan kerja-kerja pemasangan sistem fire fighting (keselamatan api) pada bangunan yang masih dalam pembinaan.
“Bagaimanapun, mangsa tiba-tiba dihempap paip sprinkler yang disandarkan pada Scissor Lift (lif angkat) yang mengenai kepalanya.
“Mangsa dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat impak hempapkan tersebut,” katanya.
Tambahnya, JKKP telah mengeluarkan satu notis larangan kerja terhadap tapak pembinaan itu selain lokasi kejadian juga disita serta-merta sehingga siasatan selesai dijalankan.
“Tindakan perundangan akan diambil sekiranya terdapat pelanggaran peraturan mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 oleh pihak yang bertanggungjawab,” katanya. – MalaysiaGazette