Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir ketika bercakap pada sidang media mengenai projek LCS yang melibatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdul Latiff sebagi seorang yang terkait dengan skandal LCS di Bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 06 SEPTEMBER 2022.

PUTRAJAYA – PKR mencabar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad muncul bersama wanita bernama Zainab Mohd Salleh yang dikaitkan dalam projek kapal tempur pesisir (LCS) bagi mengesahkan apa hubungan mereka.

Pengarah Strategi PKR, Akmal Nasir mendakwa, ini kerana Zainab dilihat memiliki peranan sama seperti Jho Low dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd.

Jelas Ahli Parlimen Johor Bahru, seperti Jho Low pada peringkat awal, identiti Zainab masih misteri walaupun terdapat bukti menerusi maklumat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bahawa wanita itu dan Abdul Latiff berada dalam syarikat yang sama.

“Adakah Zainab berperanan seperti Jho Low kepada Abd Latiff
sebab individu ini kita tidak kenali dan masih tidak muncul serta mengapa hendak melindungi identiti beliau.

“Jadi dalam kes LCS, kalau betul Abd Latiff sebagai bekas Timbalan Menteri Pertahanan dan kini menteri Kabinet, kenapa tidak berterus terang identiti Zainab?

“Rafizi (Timbalan Presiden PKR) pasti tidak kenal Zainab tapi terbukti dalam laporan syarikat SSM, Latiff dan Zainab dalam syarikat sama dan beliau telah memindahkan sahamnya kepada Zainab.

“Sepatutnya identiti Zainab ini tidak dilindungi lagi dan kalau betul Latiff hendak nafi, bawa Zainab keluar, tunjuk kepada orang dan jangan jadi macam Jho Low sampai masa sudah terlepas dan tidak tahu dia ke mana,” katanya.

Beliau berkata demikian sebelum membuat laporan kes LCS di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Akmal memberitahu, laporan kepada SPRM  menamakan Abd. Latiff sebagai seorang yang terkait dengan skandal LCS sepertimana disebut dalam beberapa siri laporan.

Jelasnya, nama Ahli Parlimen Mersing itu dinyatakan terkait menerusi Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen dan juga Laporan Pengauditan Forensik baru-baru ini.

“Laporan SPRM ini tertumpu kepada Akta SPRM 2009 dan membolehkan SPRM untuk menyiasat sekiranya terdapat sebarang kesalahan yang bersabit dengan kesalahan-kesalahan rasuah seperti di bawah Seksyen 16, Seksyen 17 (a), Seksyen 17 (b), Seksyen 18 dan Seksyen 23.

“Laporan SPRM juga mendesak supaya pihak SPRM mendedahkan pengiystiharan harta yang dibuat oleh Datuk Dr Abdul Latiff sebelum beliau mengangkat sumpah sebagai Menteri,” katanya.

Selasa lalu, pegawai Abd Latiff membuat laporan polis terhadap Rafizi yang disifatkan fitnah bertujuan merosakkan nama baik Ahli Parlimen Mersing itu.

Sehubungan itu, polis turut merampas satu unit telefon bimbit milik Rafizi untuk siasatan lanjut. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Haaaa…bila dah kantoi menfitnah dia konar lagi. Mula2 dgn yakinnya kata isteri kedua Menteri, tiba2 kata Rapiji tak tau siapa Zainab…akhir sekali suruh Menteri plak pergi cari dan bawa Zainab? Ni apa punya manusia bangang ni…

Comments are closed.