Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Kassim bercakap pada sidang media mengenai kes tangkapan dan rampasan senjata api di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 06 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Polis telah memanggil dan selesai merakam keterangan seramai 27 orang individu dalam kes kebocoran dokumen penghakiman membabitkan Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Setakat ini untuk Rosmah seramai 10 orang telah diambil keterangan dan seramai 17 orang pula dalam kes Najib, kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim.

“Kita akan cuba sedaya upaya untuk habiskan siasatan dan lengkapkan kertas siasatan itu semula untuk diangkat segera kepada TPR (Timbalan Pendakwa Raya) untuk tindakan secepat mungkin,” katanya.

Beliau terdahulu telah mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur bersama Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai di sini hari ini.

Menurut Azmi, kertas siasatan berkenaan telah diserahkan kepada TPR sebelum ini namun dipulangkan kembali kepada pihaknya untuk dilengkapkan semula.

“Kedua-dua kertas siasatan membabitkan kebocoran dokumen keputusan penghakiman kes rayuan perbicaraan Najib dan juga Rosmah sebenarnya sudah dirujuk pada 30 Ogos yang lalu namun kita telah terima kembali daripada TPR untuk beberapa perkara yang perlu mendapatkan penjelasan untuk dilengkapkan, maka kita sedang dalam proses untuk melengkapkan semula kertas siasatan tersebut.

“Kemudian kita akan merujuk semula kepada TPR selepas selesai dilengkapkan dan ada beberapa kenyataan kita telah rekodkan dan sedang dalam proses untuk melengkapkan kertas siasatan tersebut sepenuhnya,” katanya lagi.

Ditanya sama ada saksi-saksi yang pernah dirakam keterangan dalam siasatan kebocoran dokumen akan dipanggil semula, Azmi bagaimanapun tidak menolak kemungkinan ia berlaku.

“Ya sudah tentu sekali (akan dipanggil semula)..proses itu sedang berjalan sekarang,” tegasnya.

Mengenai siasatan ke atas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, Azmi menyatakan kertas siasatan kes berkenaan akan dilengkapkan secepat mungkin dan akan dirujuk kepada TPR dalam minggu ini untuk arahan lanjut.

“Kes masih dalam siasatan dan harap dapat rujuk kertas siasatan kepada TPR dalam minggu ini,” tegasnya. – MalaysiaGazette