Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim ketika menerima penyerahan bendera Wilayah Persekutuan dari kontijen atlet renang, Steve Khiew Yean pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Wilayah Persekutuan Sukma XX MSN 2022 di Menara Seri Wilayah, Putrajaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 06 SEPTEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Kontinjen Wilayah Persekutuan meletakkan sasaran 70 pingat emas pada Sukan Malaysia (Sukma) Ke-20 MSN 2022 bagi memastikan gelaran juara keseluruhan berada di genggaman.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, sasaran itu berdasarkan prestasi semasa atlet-atlet ketika ini.

“Saya menuntut komitmen dan usaha bersungguh-sungguh daripada setiap atlet untuk memastikan sasaran tercapai bagi membolehkan kontinjen kita muncul juara.

“Atlet-atlet Wilayah Persekutuan seharusnya berasa bangga kerana berjaya dipilih sebagai sebahagian daripada kontinjen Wilayah Persekutuan untuk menyertai edisi ke-20 Sukma yang mana bakal menjadi medan untuk semua menonjolkan kemampuan masing-masing sebelum ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Wilayah Persekutuan Sukma XX MSN 2022 di Menara Seri Wilayah, Putrajaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 06 SEPTEMBER 2022.

Beliau berkata demikian pada sidang selepas Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Wilayah Persekutuan Ke Sukma 20 MSN 2022 di kementeriannya di sini hari ini.

Pada temasya 2018 di Perak, kontinjen Wilayah Persekutuan menjadi naib juara.

Ketika itu, Wilayah Persekutuan berjaya memperoleh 52 pingat emas, 38 perak dan 50 gangsa dengan mencipta satu rekod baharu kebangsaan serta tujuh rekod baharu Sukma.

Kali terakhir kontinjen Wilayah Persekutuan muncul juara pada Sukma 2014 di Perlis.

Mengulas lanjut, Shahidan memberitahu, sebagai pembakar semangat, insentif atau ganjaran akan diberikan kepada atlet Wilayah Persekutuan bagi setiap pingat yang diraih pada Sukma Ke-20.

Menurutnya, bagi kategori individu, atlet yang memenangi pingat emas akan menerima RM5,000, perak (RM2,000) dan gangsa sebanyak RM1,000.

Kata beliau, bagi kategori berpasukan pula, atlet yang memenangi pingat emas akan menerima RM3,000 hingga RM4,000, perak (RM1,000 hingga RM1,500) dan gangsa sebanyak RM500 hingga RM700.

“Dengan hanya berbaki 10 hari sahaja lagi, saya yakin fasa persiapan 603 atlet-atlet Wilayah Persekutuan yang bertanding dalam kesemua 33 acara sudah masuk ‘gear kelima’.

“Bertandinglah dengan semangat kesukanan yang tinggi dan berjuanglah berhabis-habisan agar dapat mengharumkan nama kontinjen Wilayah Persekutuan. Juga diingatkan, agar jangan sesekali atlet-atlet terjebak dengan isu doping,” katanya. – MalaysiaGazette

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim ketika beramah mesra bersama kontinjen atlet sukma semasa mengahdiri ke Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Wilayah Perseketuan Sukma XX MSN 2022 di Menara Seri Wilayah, Putrajaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 06 SEPTEMBER 2022.