SUNGAI PETANI – Pemandu kereta jenis Proton Wira yang dikesan terlibat dalam kejadian langgar lari sehingga menyebabkan kematian seorang pegawai kanan imigresen di Kilometer 83.4 Lebuh Raya Utara-Selatan di Gurun kelmarin, ditahan polis semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, lelaki warga Indonesia berusia 27 tahun itu menyerah diri di Pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, di sini, pada jam 6.30 petang.
Kata beliau, berdasarkan keterangan lelaki itu, dia mengaku terlibat dalam kejadian tersebut dan mendakwa melarikan diri kerana takut dipukul selain tidak mempunyai lesen memandu.
“Suspek yang bekerja sebagai buruh memaklumkan dia memandu kereta milik abang iparnya dan melarikan diri balik ke rumah di Taman Sri Gading, Pokok Sena.
“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Sungai Petani hari ini bagi siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Pada Ahad lalu, MalaysiaGazette melaporkan, Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Sungai Bakap maut manakala rakan sekerjanya cedera parah dalam kejadian langgar lari di Kilometer 83.4 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berhampiran Gurun hari ini.
Kejadian jam 9.30 pagi itu menyebabkan Muhammad Nizam Samsudin, 46, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Manakala Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Kanan Sungai Bakap, Zaili Nizam Muhammad, 43, dilaporkan mengalami patah kaki kanan. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: