Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Sungai Bakap, Pulau Pinang maut dalam kejadian langgar lari di Gurun, Kedah hari ini.

SUNGAI PETANI – Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Sungai Bakap maut manakala rakan sekerjanya cedera parah dalam kejadian langgar lari di Kilometer 83.4 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berhampiran Gurun hari ini.

Kejadian pukul 9.30 pagi itu menyebabkan Muhammad Nizam Samsudin, 46, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Manakala Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Kanan Sungai Bakap, Zaili Nizam Muhammad, 43, dilaporkan mengalami patah kaki kanan.

Ketika kejadian, kedua-dua mangsa yang bertugas di Depoh Imigresen Sementara Sungai Bakap, Pulau Pinang dikatakan menunggang motosikal jenis Kawasaki KLE650-C secara berasingan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila sebuah kereta merempuh motosikal ditunggang Muhammad Nizam sebelum hilang kawalan dan terbabas ke lorong kecemasan.

“Pada masa sama, rakannya yang menunggang di belakang dalam lorong kecemasan dipercayai tidak sempat mengelak dan melanggar motosikal mangsa.

“Kejadian itu menyebabkan Muhammad Nizam terjatuh dan meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai kerana kecederaan parah pada kepala manakala rakannya turut terjatuh dan patah kaki kanan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Sultan Abdul Halim di sini untuk proses bedah siasat manakala mangsa yang cedera turut dihantar ke hospital sama bagi rawatan lanjut.

Menurut Zaidy, pihaknya kini sedang mengesan pemilik kereta jenis Proton Wira berwarna perak dengan nombor pendaftaran TAC 5688 yang dipercayai terlibat dalam kes langgar lari itu.

“Kita juga minta pengguna jalan raya yang menyaksikan kejadian tersebut tampil membantu siasatan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Juzaili Ismail di talian 019 558 6668 atau pejabag BSPT Kuala Muda di talian 04 423 2222. – MalaysiaGazette