YaPEIM
Datuk Dr. Mohd Daud Bakar.

KUALA LUMPUR – Kedah Darul Aman Football Club (KDA FC) mengumumkan usahawan dan tokoh kewangan Islam, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar sebagai pemilik saham terbesar Darulaman Football Club Sdn Bhd.

Menerusi kenyataan Facebook miliknya, KDA FC memberitahu, jumlah pegangan saham Mohd. Daud dalam kelab itu tidak boleh dimaklumkan lagi buat masa ini.

“Mohd Daud telah dilantik sebagai penaung KDA FC oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada 25 November 2021. Beliau aktif memacu KDA FC sebagai penaung melalui pendanaan kelab serta jaringan besar dengan syarikat korporat.

“Fasa seterusnya, peranan beliau akan lebih besar dengan menentukan hala tuju kelab bola sepak itu ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan selaras dengan penswastaan kelab bola sepak di Malaysia, penambahan pegangan saham itu dilihat strategi lebih dinamik untuk menarik lebih banyak peluang perniagaan di era bola sepak moden.

Tambahnya, pemilikan saham oleh individu seperti Mohd Daud itu adalah langkah awal KDA FC ke arah penswastaan sepenuhnya KDA FC sebelum 2023.

Sementara itu, Dr. Mohd Daud merupakan anak jati negeri Kedah yang lahir di Simpang Kuala, Alor Setar dan kini berusia 57 tahun.

Beliau merupakan Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia serta Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Selain dua jawatan yang dinyatakan di atas, Mohd Daud banyak terlibat sebagai penasihat syariah beberapa institusi kewangan dalam dan luar negara seperti Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti, Permodalan Nasional Berhad, Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan, Astana International Financial Centre dan First Abu Dhabi Bank, UAE. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast