Dua suspek curi kabel tepi jalan menggunakan motosikal di Pandan Indah berjaya diberkas polis pada hari sama semalam.Ihsan IPD Ampang

AMPANG – Dua individu yang mencuri wayar kabel di hadapan sebuah kedai di tepi jalan utama di Jalan Perdana, Pandan Perdana semalam sudah direman empat hari di Mahkamah Majistret Ampang pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, tangkapan itu dibuat selepas polis menerima aduan daripada seorang pengarah syarikat tentang kehilangan satu gulung wayar kabel bersaiz 50mm yang bernilai RM2,000.

Bertindak atas aduan mangsa, pada hari sama, polis menangkap dua lelaki, masing-masing berusia 38 dan 39 tahun di kawasan Pudu pada 10 malam.

Pemeriksaan lanjut ke atas kedua-dua penganggur itu membawa kepada rampasan pakaian dan sebuah motorsikal yang dipercayai digunakan kedua-dua suspek semasa melakukan jenayah tersebut.

“Suspek mengaku telah menjual gulung kabel yang dicuri itu di kedai besi buruk yang terletak di kawasan Kampung Pandan,” katanya.

Semakan rekod lampau mendapati suspek pertama mempunyai 32 rekod lampau pelbagai kesalahan dadah dan jenayah curi manakala suspek kedua mempunyai 14 rekod lampau pelbagai kesalahan dadah.

Katanya, polis masih meneruskan siasatan dalam kes ini untuk menentukan kemungkinan penglibatan mereka dalam kes-kes lain.

Siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan iaitu mencuri dan jika sabit kesalahan boleh dihukum dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya, kata Mohamad Farouk lagi. – MalaysiaGazette