LUBOK CHINA – Pasangan remaja dipercayai kekasih ditemukan meninggal dunia dalam sebuah kereta Perodua Kancil di pekarangan Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Ayer Limau, di sini awal pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Melaka Datuk Razali Abu Samah berkata, jasad lelaki dan perempuan masing-masing berusia 20 dan 16 tahun itu disedari orang awam di kompleks itu kira-kira jam 9.20 pagi.
Menurutnya, jasad pasangan itu ditemukan dalam keadaan lengkap berpakaian tempat duduk masing-masing manakala kereta terbabit diselubung menggunakan kanvas.
“Kedua-dua mereka dipercayai pasangan kekasih dan perempuan berusia 16 tahun itu dihantar oleh rakannya ke Kompleks JAPERUN berkenaan untuk bertemu dengan lelaki terbabit pada jam 4 petang semalam.
“Siasatan awal mendapati, tiada unsur jenayah dan kita percaya pasangan itu meninggal dunia akibat terhidu gas karbon monoksida selain sengaja menutup kereta menggunakan kanvas bagi mengelak kenderaan ditemui,” katanya ketika ditemui media di lokasi di sini hari ini.
Menurutnya, kedua-dua si mati berasal dari Kuala Sungai Baru dan Lubok China dan lelaki berusia 20 tahun tidak bekerja manakala perempuan merupakan pelajar Tingkatan Empat sebuah sekolah di sini.
“Setakat ini, kita masih sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada kedua-dua ibu bapa si mati termasuk berapa lama mereka sudah menjalinkan hubungan selain kemungkinan spekulasi cinta tidak direstui.
“Kes sehingga kini disiasat sebagai kematian mengejut (SDR) dan mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat,” katanya. – MalaysiaGazzette.