PETALING JAYA – Dua rakan yang nekad menyamun sebuah kedai serbaneka 24 jam tidak sempat menikmati habuan hasil rompakan apabila mereka dicekup lapan jam selepas kejadian.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pada jam 5.09 pagi tadi polis menerima panggilan daripada seorang lelaki warga tempatan memaklumkan kejadian samun di premis tersebut. 

“Ketika kejadian pengadu sedang bekerja di kedai serbaneka terbabit tiba-tiba didatangi dua suspek lelaki warga tempatan yang meluru laju ke dalam premis dan mengarahkan pengadu menyerahkan barang berharga.

“Pengadu yang ketakutan dengan ugutan suspek terus menyerahkan wang tunai hsil perniagaan sebanyak RM800 dari peti wang bersama 14 kotak rokok berjenama sebelum suspek berjaya meloloskan diri dengan menaiki motosikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, berikutan kejadian itu pengadu telah mengalami kerugian berjumlah RM1,043.

Kata Mohamad Fakhrudin, bertindak atas maklumat mangsa, pada hari yang sama jam sekitar 1.30 tengahari iaitu lapan jam  kemudian pasukan dari IPD Petaling Jaya telah melakukan serbuan di sebuah perumahan pangsapuri yang terletak di Damansara.

Jelas beliau, hasil serbuan di salah sebuah rumah pangsapuri itu berjaya menahan  seorang lelaki warga tempatan sebelum suspek mengaku terlibat dalam jenayah samun kedai serbaneka uang disiasat polis.

“Kemudian berpandukan maklumat hasil soal siasat suspek pertama itu, polis membuat serbuan di satu lagi rumah sebelum berjaya membawa kepada tangkapan suspek kedua iaitu rakan sejenayah yang terlibat dalam insiden samun itu.

Antara barang yang diramps dari dua rakan samun kedai serbaneka dalam kejadian awal pagi tadi berjaya diberkas polis-foto ihsan IPD Petaling Jaya

“Pemeriksaan lanjut ke atas kedua-dua suspek berusia 25 dan 39 tahun itu membawa kepada penemuan pakaian dan kenderaan yang digunakan semasa melakukan jenayah samun di kedai serbaneka itu,” katanya.

Barangan yang dirampas antaranya sebuah motosikal jenis Yamaha, sebilah pisau bersarung kayu berukuran panjang 30 sentimeter, tiga buah topi keledar, sebuah beg sandang hitam, satu kotak bungkusan hitam, tiga telefon bimbit pelbagai jenama, beberapa komputer riba dan wang tunai RM1,520 disyaki hasil samun.

Turut ditemukan satu beg plastik mengandungi 11 kotak rokok, dan pakaian yang disyaki dipakai semasa jenayah samun, katanya.

Tegas beliau, kejayaan tangkapan kedua- dua suspek hanya dalam masa lapan jam selepas kejadian samun berjaya membantu polis menyelesaikan tiga kes samun berkawan tanpa senjatapi ke atas premis perniagaan kedai serbaneka 24 jam di sekitar daerah tersebut.

Helmet dan pakaian milik dua suspek samun berkawan di Kedai Serbaneka 24 jam berjaya dirampas selepas kejadian awal pagi hari ini.gambar ihsan polis IPD Petaling Jaya

Katanya, semakan jenayah lampau ke atas kedua dua suspek mendapati, suspek pertama mempunyai satu rekod jenayah di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan sejak tahun 2021 manakala suspek kedua mempunyai empat rekod jenayah penyalahgunaan dadah sejak 2012 dan 2013.

“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan tanpa senjatapi dan akan direman pagi Jumaat ini di Mahkamah Majistret Petaling Jaya untuk membantu siasatan lanjut polis,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette