Laut China Selatan

KUALA LUMPUR – Semakin ramai wakil rakyat terutamanya di Sabah dan Sarawak tampil bersuara berhubung isu pencerobohan China di ruang udara dan perairan Malaysia di Laut China Selatan yang jelas mencabul kedaulatan negara ketika ini.

Masing-masing bimbang andainya Wisma Putra berterusan berdiam diri akan menyebabkan isu ini berlarutan sehingga memudaratkan rakyat apatah lagi pelbagai spekulasi timbul sejak dua tiga kebelakangan ini.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Simunjan (DUN), Alwa Dris kepada MalaysiaGazette, sebagai negara kecil seperti Malaysia pada ketika ini mesti berani menyatakan pendirian

Kata Alwa, Wisma Putra tidak boleh terus mengambil sikap berdiam diri berhubung isu itu kerana ia hanya akan meningkatkan lagi kebimbangan rakyat di Sabah dan Sarawak yang berdepan pencerobohan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri Simunjan (DUN), Alwa Dris

“Wisma Putra harus lebih tegas dalam menangani isu pencabulan kedaulatan negara ketika ini. Kita tidak sesekali berkompromi dalam perkara yang mencabul kedaulatan negara kerana pendekatan itu sahaja boleh memberi peringatan kepada yang lain.

“Isu ini juga sudah banyak kali dibangkitkan oleh wakil rakyat dari Sabah dan Sarawak sejak beberapa tahun kebelakangan ini, namun isu itu bukannya selesai malah terus berlarutan,” katanya.

Tambah Alwa, sudah tiba masanya untuk tindakan diambil bagi menangani isu itu bukannya terus berdiam diri hanya kerana mahu menjaga hati segelintir pihak.

Untuk makluman juga, Laporan Ketua Audit Negara Siri 3 (2018) telah memberi amaran melalui angka pencerobohan sebanyak 89 kali bermula 2016 hingga 2019.

CNN pernah melaporkan Kementerian Luar China menggambarkan latihan ketenteraannya di Laut China Selatan diadakan dalam wilayah negaranya.

Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN), Kota Dun Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin pula, sebagai wakil rakyat beliau sering berdepan dengan aduan nelayan yang semakin tertekan kerana mata pencarian mereka terjejas dengan adanya aktiviti latihan ketenteraan di Laut China Selatan sehingga berpatah balik.

“Ada juga kisah nelayan kita terpaksa beralih arah ke kawasan perikanan laut bergelora dan tidak begitu sesuai dengan kapasiti bot memandangkan tempat kebiasaan mereka kini ada banyak kapal peronda atau adanya latihan ketenteraan.

“Terdapat juga dakwaan nelayan haram dari China melakukan aktiviti perikanan di kawasan pertikaian Kepulauan Spratley ini. Apakah ini semua tidak membimbangkan kita semua? Kedaulatan kita diceroboh, rakyat kita hilang mata pencarian. Jangan diam diri yang akhirnya akan mudaratkan kita.

“Mengapa kita berdiam lagi, kita perlu lakukan sesuatu untuk tangani ini dengan segera. Setiap negara ada kedaulatan yang perlu di jaga dan di hormati bukan begitu? Kita bukan hendak bergaduh atau lakukan provokasi sebaliknya tindak tanduk buli ini jangan kita biarkan,” ujarnya.

Beijing sebelum ini mendakwa hampir semua daripada 3.36 juta kilometer persegi Laut China Selatan adalah miliknya dan telah membina kemudahan tentera di beberapa kawasan tanah sejak beberapa tahun lalu di laut tersebut.

Kemudahan tentera itu termasuk pelancar antipeluru berpandu di sebuah pulau di Laut China Selatan dibuat selepas Presiden negara itu, Xi Jinping berjanji kepada Presiden AS ketika itu Barack Obama pada tahun 2015 bahawa pulau-pulau di laut tersebut tidak akan dijadikan kawasan ketenteraan. – MalaysiaGazette