Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (Kementah) bersetuju meluluskan pemberian Elaun Kenangan Kepada Penerima Pingat Jasa Malaysia (PJM).

Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, persetujuan berkenaan dibuat berdasarkan kajian mendalam yang dibuat oleh kementeriannya.

Sehubungan itu, beliau berharap agar Kementerian Kewangan (MOF) pertimbangan perkara keputusan berkenaan.

“Pelbagai pemegang taruh di MINDEF dan ATM telah beberapa kali duduk semeja, berkongsi pandangan, meneliti langkah serta perancangan.

Terbaharu, satu bengkel berkaitan elaun PJM telah diadakan awal Ogos lalu di mana beberapa Persatuan Veteran turut dilibatkan.

“Ini termasuklah Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia, Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Persatuan Veteran TUDM, Persatuan Pegawai-Pegawai Bersara Angkatan Tentera dan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen.

“Terima kasih kepada wakil-wakil veteran yang telah berkongsi input, membawa hasrat rakan-rakan veteran yang lain serta meneliti setiap perincian bagi diangkat kepada MOF untuk persetujuan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Selain itu, Hishammuddin turut mengumumkan kenaikan Bantuan Sara Hidup (BSH) bagi veteran ATM tidak berpencen di bawah kategori B40 kepada RM400 sebulan.

Jelas beliau, melalui pengumuman itu bermakna dua tuntutan veteran ATM telah dipenuhi oleh Kementerian Pertahanan.

Hishammuddin turut berikrar akan turut membela kebajikan veteran tentera.

“Ia tidak akan terhenti di sini. Kementah sentiasa berusaha bertungkus lumus demi membela kebajikan Veteran ATM dengan sebaik mungkin. Perkembangan dan hasil usaha ini akan saya umumkan dari semasa ke semasa,” tambahnya.- MalaysiaGazette