KUALA LUMPUR – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki didakwa mempunyai masalah pengurusan masa kerana agensi itu mempunyai lebih sedekad untuk bertindak terhadap skandal projek kapal tempur pesisir (LCS).
Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata, Azam perlu dipersoalkan kerana SPRM tidak bertindak lebih awal memandangkan perolehan LCS ini bermula lebih dari sedekad lepas, ketika Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Menteri Pertahanan dalam Kabinet Tun Abdullah Badawi.
“Namun, persoalan saya berulang mengenai tiga tuduhan terhadap bekas pengerusi BNS, Ahmad Mohd Nor, bulan lepas berlaku sebelum skandal LCS dan tidak berkaitan dengan skandal LCS.
“Sebaliknya projek perolehan ketenteraan lain, menjadi satu pengakuan yang SPRM sehingga hari ini masih belum mengambil tindakan terhadap sesiapa mengenai skandal LCS ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Azam dalam satu sidang media di Putrajaya mengakui pihaknya memerlukan lebih banyak masa untuk menyiasat individu lain yang terlibat dalam skandal LCS.
Malah katanya, SPRM perlu memanggil lebih banyak saksi bukan sahaja di dalam negara bahkan dari luar negara bagi melengkapkan siasatan skandal perolehan ketenteraan itu yang melibatkan RM9 bilion.
Tambah Kit Siang, Jawatankuasa Pilihan Khas Agensi di Jabatan Perdana Menteri yang akan bermesyuarat perlu memanggil Azam untuk menjelaskan kegagalan SPRM mengambil tindakan terhadap sesiapa mengenai skandal LCS ini.
“Walaupun dia telah menerima dua laporan mengenai skandal ini iaitu laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan, dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) projek LCS yang dipengerusikan oleh Ketua Audit Negara ketika itu, Tan Sri Ambrin Buang.
“Satu lagi ialah laporan audit forensik perolehan LCS (2011-2014) yang dijalankan oleh Alliance IFA (M) Sdn. Bhd. bagi pihak Boustead Heavy Industries Corp (BHIC).
“Kedua-duanya laporan ini mengandungi pelbagai perkara yang boleh membawa kepada pertuduhan rasuah, salah guna kuasa, pecah amanah, salah laku dan penipuan,” katanya.
Sehubungan itu, Jawatankuasa Pilihan Khas Agensi di Jabatan Perdana Menteri sepatutnya bertanya secara khusus kepada Azam, sama ada SPRM telah menyoal siasat Najib mengenai skandal LCS ini atau sebaliknya.
“Adakah JPK Agensi di Jabatan Perdana Menteri akan menjadi salah satu agensi pertama yang gagal membawa apa-apa perbezaan dalam hal ehwal tadbir urus negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















