Razeef Rakimin

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) perlu mengambil iktibar Pilihan Raya Negeri Johor (PRN) sebelum membuat keputusan menyambut Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dalam gabungan tersebut.

Timbalan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Razeef Rakimin mengingatkan Majlis Presiden PH supaya bijak membuat keputusan dan tidak memikul pihak yang hanya akan menjadi liabiliti kepada PH.

”Kita telah membuka ruang kerjasama serta memberi tapak kepada MUDA pada PRN Johor yang lalu. Namun apa yang dilakukan MUDA sangat biadap pada ketika itu. Bermula dengan menuduh ADUN Ulu Tiram dari PKR pada ketika itu sebagai tidak amanah. Kemudian laman media sosial MUDA Johor memuat naik poster “Hentikan Korupsi” dengan memaparkan logo PKR dan PH seolah dua entiti ini memberi dan menerima rasuah.

”Malah dalam keadaan PKR dihina, parti ini masih memberi tiga kerusi kepada MUDA untuk ditandingi namun ditolak oleh MUDA dan melanggar kerusi DUN Larkin yang ditandingi PKR,” ungkit beliau.

Razeef menambah, MUDA perlu belajar lagi dalam berpolitik dan bukan menjadi sebuah parti yang menempel sana sini untuk menang.

Malah status MUDA dengan Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) sehingga hari ini juga masih belum ada noktah.

Oleh itu, Razeef berpandangan, pada peringkat ini adalah lebih baik kerjasama itu dijalin di luar PH.

Jika DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) ingin berkerjasama dengan MUDA, teruskan. DAP dan Amanah boleh serahkan kerusi mereka kepada MUDA selepas rundingan agihan kerusi selesai antara parti komponen PH, tegasnya.

Pada masa sama, katanya, Pilihan Raya Umum ke-15 boleh jadi kayu ukur keikhlasan MUDA untuk bersama PH kerana tidak mahu sejarah berulang apabila PH dihina dan mereka meletakkan calon di kerusi yang pakatan ini tandingi.

Razeef turut mempersoalkan kenyataan Pengerusi MUDA Sabah, Amos Thien yang masih mengharap kerjasama dengan Parti Warisan ketika MUDA merayu untuk bersama PH.

Tegas beliau lagi, PH merupakan pakatan yang bermaruah dan percaya PH tidak akan menjalinkan kerjasama dengan Warisan yang jelas telah mengisytiharkan perang terhadapnya.

Malah keputusan Warisan untuk memutuskan hubungan dengan PH diumum dalam mesyuarat agung tahunan parti itu baru-baru ini. – MalaysiaGazette