SHAH ALAM – Dua anggota polis dan seorang pengurus syarikat telah diberkas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki cuba memeras ugut seorang pegawai polis sebanyak RM100,000.
Ketiga-tiga suspek ditahan atas dakwaan kononnya memeras ugut dan meminta wang sebagai dorongan menutup kes membabitkan SPRM.
Menurut sumber, SPRM menahan kedua-dua anggota polis berusia lingkungan 30-an itu antara pukul 7 malam hingga 12 tengah malam pada Jumaat lalu di ibu negara.
“Pengurus syarikat berkenaan ditahan ketika menerima wang rasuah berjumlah RM50,000 iaitu sebahagian daripada jumlah yang diminta daripada mangsa.
“Pengurus pentadbiran syarikat berkenaan berperanan sebagai orang tengah bagi meminta dan menerima wang rasuah itu,” menurut sumber.
Sumber sama menambah kedua-dua anggota polis berkenaan telah dibebaskan selepas selesai dirakam keterangan.
Bagaimanapun, katanya, pengurus syarikat itu telah direman selama empat hari bermula Jumaat sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan SPRM.
Dalam pada itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan ketiga-tiga suspek tersebut.
Kes ini sedang disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette