Exco Generasi Muda dan Sukan dan Pembangunan Modal Ihsan Selangor, Mohd Khairuddin Othman ketika melihat para peserta yang bermain sukan elektronik PUBG pada Program Selangor Xtiv Esport 2022 di IOI City Mall, Putrajaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 10 SEPTEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Kerajaan Selangor menggalakkan golongan belia termasuk pelajar tahfiz  menceburi sukan elektronik (e-sukan) bagi mencungkil bakat  baharu.

Exco Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, ia bagi melahirkan lebih ramai atlet dalam industri tersebut dan boleh mewakili negara sehingga peringkat antarabangsa.

“Kami menyokong adik-adik semua untuk terus bermain e-sukan, ini adalah program yang boleh cungkil bakat dalam kalangan anda yang berpotensi untuk Sukan Malaysia (SUKMA) dan menjadi industri besar hingga ke antarabangsa,” katanya ketika merasmikan Program Selangor Xtiv Esports 2022 di sini hari ini.

Exco Generasi Muda dan Sukan dan Pembangunan Modal Ihsan Selangor, Mohd Khairuddin Othman ketika berucap pada Program Selangor Xtiv Esport 2022 di IOI City Mall, Putrajaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 10 SEPTEMBER 2022.

Menurut Mohd Khairuddin, program yang dirasmikan itu bertujuan mencari bakat baharu untuk mewakili Selangor dalam e-sukan menjelang SUKMA 2022 pada minggu depan selain merebut hadiah terkumpul berjumlah RM24,000.

Bagaimanapun, beliau memahami terdapat pelbagai cabaran yang perlu ditempuh dalam mendedahkan industri yang sering dianggap sebagai picisan dan tidak ada masa depan oleh sesetengah pihak.

“Antara cabaran besar kita adalah untuk fahamkan ibu bapa bahawa e-sukan ini bukan sekadar permainan tepi jalan dan hanya main di kedai mamak tetapi ia diiktiraf di Selangor, negara mahu pun antarabangsa,” ujarnya.

Beliau juga berharap perkembangan e-sukan mendapat perhatian Kementerian Pendidikan sebagai salah satu teras dalam kokurikulum selari dengan arus pemodenan teknologi.

“Harapan saya adalah KPM dapat memasukkannya sebagai satu kesedaran sebab kita sekarang ini sudah masuk abad ke-21, kita tak boleh halang perkembangan teknologi dan kerajaan negeri meraikan dengan menyediakan platform yang sesuai,” katanya.

Khairuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Paya Jaras itu berharap hasrat tersebut dapat dicapai sehingga ke peringkat antarabangsa dengan pelbagai program dirangka termasuk memastikan terdapat sijil yang diiktiraf dalam bidang berkenaan. – MalaysiaGazette