Barang curi yang dirampas dari suspek ketika hendak melarikan diri dari premis serbaneka 24 jam itu di Ampang. - Gambar ihsan IPD Ampang Jaya.

KUALA LUMPUR – Seorang penunggang e-hailing yang dikatakan mencuri barangan kedai serbaneka 24 jam di Jalan Pandan Indah dekat sini baru-baru ini ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian Khamis lalu, pekerja premis berkenaan melihat suspek memasukkan pelbagai barangan runcit ke dalam beg plastik dan terus keluar tanpa membuat sebarang pembayaran di kaunter.

“Selepas itu, pekerja terbabit bersama rakannya terus mengejar suspek dan berjaya menahannya sebelum menyerahkan kepada pihak kereta peronda polis yang tiba ke lokasi kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohamad Farouk, semakan rekod  mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau bersabit kesalahan dadah.

Suspek kini telah direman selama empat hari sehingga esok di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dihukum penjara tidak melebihi 10 tahun dan juga boleh dikenakan denda. – MalaysiaGazette