Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahadzir Khalid melambai tangan ke arah sebahagian pelajar yang hadir pada Program Aspirasi Kecermelangan Keluarga Malaysia di German-Malaysian Institute (GMI), Bangi, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 10 SEPTEMBER 2022.

BANGI – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kenaikan Elaun Sara Hidup (ESH) pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat Mara (MARA) dalam dan luar negara berkuatkuasa bulan ini.

Kadar ESH pelajar dalam negara dinaikkan RM650 sehingga RM950 sebulan bagi bidang pengajian bermula daripada peringkat diploma sehingga doktor falsafah dan profesional.

Sementara ESH luar negara dinaikkan kepada kadar RM1,380 sebulan sehingga RM7,600 sebulan bermula daripada peringkat pengajian ijazah sarjana muda sehingga peringkat doktor falsafah dan peringkat profesional.

Kenaikan Kadar Elaun Sara Hidup (ESH) kepada pelajar tajaan Mara bakal melibatkan seramai 62,998 orang.

Ismail Sabri berkata, kenaikan tersebut dibuat berikutan kadar elaun sedia ada telah diguna pakai sejak lebih 13 tahun lalu.

Faktor peningkatan kos sara hidup dalam negara sejak 10 tahun lalu dan kesan pandemik dan isu-isu lain yang melanda dunia juga diambil kira.

Menurut Ismail Sabri, berdasarkan tinjauan JPA-MARA Special Operation pada bulan Februari di London, Bristol dan Edinburgh mendapati lebih 60 peratus pelajar tajaan MARA dan JPA yang majoritinya golongan B40 didapati terbeban dengan perbelanjaan harian.

“Sebagai contoh, purata perbelanjaan sebulan untuk bayaran sewa rumah dan bil utiliti di kota-kota utama berjumlah sekitar £500 (atau RM2,733) hingga £730 (atau RM3,990) iaitu perbelanjaan antara 60 hingga 70 peratus daripada elaun yang diterima setiap pelajar.

“Untuk makluman, elaun sara hidup pelajar MARA dan JPA seperti di London ialah sebanyak £1,045 (atau RM5,712) jauh lebih rendah berbanding median saranan kerajaan UK iaitu sebanyak £1,312 (atau RM7,172) setakat bulan September 2021,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Program Aspirasi Kecermelangan Keluarga Malaysia di German-Malaysian Institute (GMI).

Turut hadir Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahadzir Khalid.

Ketika ini terdapat seramai 4,149 pelajar tajaan Mara yang sedang mengikuti pengajian di luar negara dan daripada jumlah itu seramai 1,049 pelajar sedang mengikuti pengajian di 24 buah universiti dalam senarai 50 universiti terbaik dunia.

Seramai 58,849 pelajar tajaan MARA sedang mengikuti pengajian dalam negara di universiti awam atau institusi pendidikan swasta terpilih.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, sehingga hari ini, seramai 1.35 juta pelajar Melayu dan bumiputera telah mendapat manfaat daripada penubuhan Mara sejak 56 tahun lalu.

Sepanjang penubuhannya, MARA telah membuktikan peranan penting terhadap pembangunan sosio-ekonomi negara, dengan lebih daripada empat juta bumiputera telah diperkasa melalui keusahawanan, pendidikan dan pelaburan berimpak tinggi.

Institusi tersebut telah memainkan peranan penting melaburkan dana dan masa dalam pembangunan modal insan melalui pendidikan seperti penubuhan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan pendidikan tertiari seperti Universiti Kuala Lumpur (UniKL), German Malaysian Institute (GMI), MARA-Japan Industrial Institute (MJII), GiatMARA dan Kolej Mara.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast