Muhammad Jailani (tengah) turut mengambil peluang melakukan pemeriksaan kesihatan pada Sambutan Hari Keluarga Rembia di Kompleks JAPERUN Rembia, Alor Gajah, Melaka hari ini.

ALOR GAJAH – Melaka tidak bercadang mewajibkan penggunaan pelitup muka sempena sambutan Hari Malaysia 2022 pada 16 September ini biarpun dianggarkan menerima ratusan ribu pelancong di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, setakat ini, tiada keperluan mewajibkan pengunjung berbuat demikian, namun ianya digalakkan sebagai langkah keselamatan.

“Setakat ini, kita tidak bercadang berbincang dengan Jabatan Kesihatan Negeri untuk mewajibkan pengunjung memakai pelitup muka pada sambutan Hari Malaysia 16 September ini yang bakal menyaksikan ratusan ribu membanjiri Banda Hilir.

“Bagaimanapun, kita masih menggalakkan pemakaian pelitup muka di kawasan sesak pada hari tersebut selain turut menyediakan cecair pembasmi kuman sebagai langkah pencegahan,” katanya.

Sebahagian pengunjung yang hadir pada Sambutan Hari Keluarga Rembia di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Rembia, Alor Gajah, Melaka hari ini.

 

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Hari Keluarga Rembia di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Rembia di sini hari ini.

Mengulas lanjut Muhammad Jailani berkata, keputusan itu juga sejajar dengan penilaian semasa Kementerian Kesihatan (KKM) seperti diumumkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, Rabu lalu iaitu pemakaian pelitup muka di tempat tertutup tidak lagi diwajibkan berkuat kuasa serta-merta.

“Insya Allah saya rasa kita tak perlu risau wajibkan pakai pelitup muka kerana usaha kita murni, niat kita bersih dan ramai akan turun ke Melaka untuk sambutan Hari Malaysia.

“Walaupun pelitup muka sudah menjadi pilihan, orang ramai digalakkan memakainya di tempat sesak terutama mereka yang menghidap penyakit kronik atau mempunyai imuniti rendah sebagai langkah pencegahan,” katanya.

Semalam, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri, Muhammad Firdaus Sharif dilaporkan berkata Lebih 200,000 kenderaan dijangka memasuki Melaka menjelang sambutan Hari Malaysia pada Jumaat ini.

Jumlah itu menyaksikan pertambahan lebih tiga kali ganda berbanding kebiasaaan jumlah kenderaan yang memasuki Melaka adalah pada sekitar 60,000 buah kenderaan. – MalaysiaGazette.