KUALA LUMPUR – Sebanyak 26 item pertanian terpilih mencatatkan Kadar Sara Diri (SSR) melebihi 100 peratus bagi 2021, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Menerusi statistik dikeluarkan DOSM hari ini, jabatan itu memaklumkan 10 daripada 14 buah-buahan terpilih merekodkan SSR lebih 100 peratus, dengan betik kekal mencatatkan kadar tertinggi iaitu 146.9 peratus, diikuti tembikai (139.5 peratus) dan cempedak atau nangka (110.8 peratus).

“Sementara itu, kebolehupayaan negara mengeluarkan mangga tempatan untuk memenuhi keperluan domestik kekal terendah iaitu 16.2 peratus, menurun daripada 20.2 peratus pada 2020,” menurut jabatan itu.

Bagi sayur-sayuran terpilih, DOSM memaklumkan tujuh daripada 10 bekalan makanan itu mencatat lebih 100 peratus dengan tomato merekodkan SSR tertinggi iaitu 118.9 peratus manakala cili kekal pada kadar terendah iaitu 29.3 peratus.

Sementara itu, dua tanaman lain terpilih iaitu tebu dan ubi kayu masing-masing mencatatkan SSR 149.4 peratus dan 100.2 peratus.

Menurut DOSM, untuk item ternakan terpilih pula, daging itik merekodkan SSR sebanyak 130.6 peratus dan telur ayam atau itik pada kadar 114.4 peratus.

Statistik itu turut menyatakan lima daripada 13 perikanan terpilih merekodkan SSR lebih 100 peratus iaitu keli (108.3 peratus), ketam (104.4 peratus), mackerel (100.7 peratus), udang (100.4 peratus) dan patin (100 peratus). – BERNAMA