Kenderaan yang membawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di mahkamah bagi menghadiri prosiding kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 12 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak yang dikatakan akan menerima rawatan di Hospital Kajang dekat sini sebelum ini telah menjalani pemeriksaan pakar di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Malah bekas Perdana Menteri itu didapati sihat sebelum dibenarkan keluar dari HKL pada 9 September lalu, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Menurut beliau, Najib pada Jumaat lalu telah dimasukkan ke HKL sebagai kes elektif (bukan kecemasan) untuk memastikan kesihatan Ahli Parlimen Pekan itu dalam keadaan baik.

Dr. Noor Hisham Abdullah

“Pemeriksaan dan ujian berkaitan dijalankan oleh pakar-pakar dan ketua-ketua perkhidmatan klinikal bagi bidang masing-masing.

“Susulan itu, keputusan pakar-pakar perunding sebulat suara membenarkan Najib didiscaj daripada HKL.” kata Dr. Noor Hisham dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum keputusan dikeluarkan, HKL telah mengadakan sidang keluarga sebanyak dua kali yang telah dihadiri oleh Najib dan ahli keluarganya.

Datuk Seri Najib Razak.

Hari ini, media melaporkan Najib mengalami alahan teruk akibat ubat darah tinggi yang diambilnyau dan dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwaraya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah ketika prosiding penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihadapi Najib pagi  tadi.

Kata Sri Ram, Penjara Kajang turut memaklumkan keadaan Najib agak teruk pada masa ini.

“Namun saya dimaklumkan Datuk Seri Najib boleh berada dalam prosiding sehingga tengah hari ini sebelum bersiap ke Hospital Kajang sekitar pukul 2 petang ini,” katanya pagi tadi di mahkamah.

Bagaimanapun tinjauan MalaysiaGazette di Hospital Kajang sejak pukul 2 petang tadi masih tidak nampak sebarang kenderaan yang dipercayai membawa masuk Ahli Parlimen Pekan itu ke Hospital Kajang.

Tiada kelibat kenderaan yang membawa Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat memasuki kawasan hospital untuk menerima rawatan perubatan selepas bekas Perdana Menteri itu dilaporkan mengalami alahan teruk akibat ubat darah tinggi yang diambil oleh beliau di Hospital Kajang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 12 SEPTEMBER 2022.

Beberapa pegawai hospital yang ditemui turut memaklumkan Najib belum dimasukkan ke hospital berkenaan walaupun media  melaporkan beliau akan dimasukkan ke hospital berkenaan petang tadi.

Difahamkan, proses membawa Najib ke Hospital Kajang mungkin memakan masa sedikit dan ia perkara biasa kerana melibatkan prosedur Penjara Kajang. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Najib alami alahan teruk, dirujuk ke Hospital Kajang – Gopal Sri Ram