Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi pegawai penjara ketika hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 12 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak mengalami alahan teruk akibat ubat darah tinggi yang diambil oleh beliau.

Perkara itu dimaklumkan oleh Penjara Kajang dan disahkan oleh Timbalan Pendakwaraya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah ketika prosiding penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihadapi Najib pagi ini.

Kata Sri Ram, Penjara Kajang turut memaklumkan keadaan Najib agak teruk pada masa ini.

“Namun saya dimaklumkan Datuk Seri Najib boleh berada dalam prosiding sehingga tengah hari ini sebelum bersiap ke Hospital Kajang sekitar jam 2 petang ini,” katanya sebentar hari ini.

Sri Ram juga hadir lewat hari ini sekitar jam 11 pagi tadi ketika prosiding sudah bermula dengan saksi ke-37, pendakwaan ke-37, Pengurus Cawangan AmBank (M) Berhad Jalan Raja Chulan R. Uma Devi sedang memberikan keterangannya.

Collin membenarkan permohonan untuk menangguhkan prosiding lebih awal hari ini dan ketika ini perbicaraan sedang berjalan.

Najib tiba dengan kenderaan khas Penjara Kajang sekitar jam 8.40 pagi dengan barisan penyokong tetap setia menanti di luar pekarangan mahkamah seawal 8 pagi lagi.

Ahli Parlimen Pekan itu ketika ini sedang berdepan dengan hukuman penjara 12 tahun dan denda sebanyak RM210 juta selepas didapati bersalah menyeweleng dana SRC International Sdn Bhd (SRC) yang juga merupakan anak syarikat 1MDB sebanyak RM42 juta bulan lepas.

Najib sedang berdepan dengan menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama. – MalaysiaGazette