Penduduk, Baharudin Alias, 64 bercakap kepada media mengenai persediaan monsun timur laut dan fenomena air laut pasang besar bagi bulan September hingga Disember ketika di Pengkalan Nelayan Tok Muda Kapar, Klang. Foto MOHD ADZLAN, 12 SEPTEMBER 2022.

KAPAR – Susulan kejadian banjir besar melanda Klang pada 17 hingga 19 Disember tahun lalu, pelbagai persediaan telah dilakukan.

Bukan sahaja agensi kerajaan bahkan rakyat kini lebih bersiap sedia jika bencana sama berulang.

Peralihan Monsun Barat Daya kepada Monsun Timur Laut yang bermula September 2022 hingga Februari 2023 di mana Selangor bakal menerima taburan hujan di antara 100-400 milimeter (mm) secara purata mulai pertengahan September pastinya membimbangkan semua pihak.

Keadaan itu dijangka bertambah buruk dengan berlaku Fenomena Air Pasang Besar yang juga dijangka berlaku di kawasan pesisir laut sepanjang Pelabuhan Klang dengan paras air tertinggi boleh mencecah sehingga 5.5 meter.

Tinjauan MalaysiaGazette ke Kampung Tok Muda di sini hari ini mendapati, penduduk setempat kini lebih cakna dan sentiasa mengikuti perkembangan cuaca dari semasa ke semasa untuk membuat persediaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan termasuk banjir.

Menurut seorang penduduk, Baharudin Alias, 64, fenomena air laut pasang besar melibatkan pertembungan air hujan dengan air laut bukan satu perkara baharu.

“Kami sebenarnya sudah biasa dengan air pasang besar ini. Bezanya air laut itu banjir atau tidak sahaja. Air pasang besar ini berlaku dua kali setahun, Mac dan September.

“Kami kena pastikan aliran longkang lancar, air tak sangkut, jadi air tak bertakung. Pihak kampung pula kena bersihkan parit-parit besar dan kecil semua kena dibersihkan.

“Kalau banjir, kita kena sedia pindah ke dewan orang ramai yang dijadikan Pusat Penempatan Sementara (PPS),” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Haliza Parman. Foto MOHD ADZLAN, 12 SEPTEMBER 2022.

Bagi seorang lagi penduduk, Haliza Parman, 53, juga tidak menafikan banjir besar yang melanda Klang pada Disember tahun lalu meninggalkan trauma namun dia tidak mengabaikan arahan pihak berkuasa untuk berpindah.

“Bila berlaku Fenomena Air Laut Pasang besar ini kita pun sudah bersedia, buat apa yang patut, barang keperluan itu kita siapkan awal-awal,” katanya.

Mohd Fauzi Arifin, 54 bercakap kepada media mengenai persediaan monsun timur laut dan fenomena air laut pasang besar bagi bulan September hingga Disember ketika di Pengkalan Nelayan Tok Muda Kapar, Klang. Foto MOHD ADZLAN, 12 SEPTEMBER 2022.

Sementara itu, Mohd Fauzi Arifin, 54, pula berkata, sebagai mangsa banjir, dia tidak boleh alpa dan sentiasa berjaga-jaga dan membuat persediaan awal dengan keperluan penting apabila diarahkan berpindah ke PPS.

“Dokumen penting, makanan asas dan keperluan kesihatan perlu disediakan sekiranya berlaku banjir dan perlu berpindah ke PPS.

“Kita kena faham apabila berlakunya bencana, keadaan kita nanti agak kelam-kabut, jadi kita kena bersedia untuk berdepan dengan situasi itu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast