majlis peguam

KUALA LUMPUR – Majlis Peguam didakwa bersikap sikap berat sebelah dan hipokrit dalam beberapa isu melibatkan sistem keadilan di negara ini.

Penganalisis, Lim Sian See berkata, badan tersebut mempertahankan tindakan menggugurkan pertuduhan terhadap Pengerusi DAP, Lim Guan Eng walaupun kes rasuah sedang berjalan.

Menurut beliau, mereka juga mendiamkan diri apabila Guan Eng yang sedang berdepan dengan perbicaraan kes rasuah dilantik sebagai Menteri Kewangan.

“Anda berdepan situasi di mana seseorang yang didakwa melakukan rasuah dilantik menguruskan kewangan negara,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.

Sian See turut bertanya sama ada Majlis Peguam akan bersikap serupa sekiranya Peguam Negara menggugurkan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Selain itu, beliau membangkitkan kembali tentang tindakan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd. Soffian Abd. Razak mengundur diri dari kes SRC International ekoran konflik kepentingan yang mungkin berlaku kerana abangnya ialah ahli UMNO.

Walau bagaimanapun, kata Sian See, Majlis Peguam berdiam diri apabila Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali tidak mengisytiharkan beliau mempunyai konflik kepentingan dalam kes yang sama.

Beliau menambah, Mohd. Nazlan pernah berkhidmat dengan sebuah bank yang mencadangkan kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk menubuhkan SRC International Sdn. Bhd.

Selain itu, katanya, Majlis Peguam mempertahankan tindakan menggantikan Mohd. Soffian dengan seorang hakim yang tidak mempunyai pengalaman dalam mahkamah jenayah walaupun selepas prosiding kes berprofil tinggi tersebut sudah bermula.

Sian See berkata, badan berkenaan membantah hak Najib untuk mendapatkan seorang Peguam Diraja dari United Kingdom (UK) untuk membelanya.

“Namun, mereka tidak berkata apa-apa apabila mahkamah mengambil masa dua hingga tiga bulan untuk menolak permohonan Najib tetapi kemudian menjadikannya satu isu yang besar apabila pasukan peguam baharu Najib mahu penangguhan selama dua hingga tiga bulan bagi membolehkan mereka bersedia.

“Lebih teruk lagi, Majlis Peguam kelihatan bersetuju dengan keputusan para hakim bahawa peguam-peguam Najib yang juga ahli-ahli senior badan tersebut tidak dibenarkan mengundurkan diri, sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah,” jelasnya.

Sian See memberitahu, Majlis Peguam kini mewujudkan duluan di mana ahli-ahli badan itu boleh dipaksa bekerja tanpa dibayar dalam kes yang mereka tidak bersedia atau tidak lagi berminat untuk meneruskan sekali gus menjejaskan reputasi peguam terbabit serta kepentingan anak guam mereka.

“Ini adalah seperti memaksa seorang pemain bola sepak profesional yang cedera teruk dan tahu dia tidak boleh meneruskan permainan terus beraksi tanpa gaji untuk perlawanan tersebut.

“Bagaimanakah Majlis Peguam tidak tahu mereka menjejaskan kepentingan ahli-ahli sendiri untuk jangka panjang?” katanya. – MalaysiaGazette