Nur Hidayah Mat Nurddin

IPOH – Polis memohon bantuan orang ramai untuk mengesan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Tambun, di sini sejak 19 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata remaja itu dikenali sebagai Nur Hidayah Mat Nurddin dengan alamat terakhirnya di Lot 475 Kampung Tersusun Batu 5, Lorong Delima 3/2 Tambun.

“Pihak kami menerima laporan polis daripada ibunya mengatakan anaknya tidak pulang ke rumah selepas keluar untuk membeli air pada hari kejadian dan membuat laporan kehilangan tiga hari selepas itu.

“Ketinggian adalah lebih kurang 160 sentimeter dan berkulit cerah serta memiliki berat badan sekitar 45 kilogram. Selain itu, remaja ini berbadan sederhana dan tidak memakai kaca mata,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kehilangan remaja itu, diminta untuk tampil memberikan keterangan bagi membantu siasatan.

Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, Sarjan Mohd Haizal Umar di talian 011-21001076 atau Bilik Gerakan IPD Ipoh di talian 05-2451500.- BERNAMA