Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Ts Mohammad Hamdan Wahid (tengah) menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada salah seorang daripad 75 anggota dan pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pahang di Ibu Pejabat JBPM Pahang hari ini

KUANTAN – Seramai 75 orang pegawai dan kakitangan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pahang terpilih untuk menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi tahun 2021.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, penghargaan yang diberikan setiap tahun itu adalah manifestasi jabatan bagi menghargai dan meraikan warga yang telah mempamerkan prestasi kerja yang cemerlang.

“Kita raikan insan terpilih yang telah memenuhi kriteria dalam penyampaian perkhidmatan selain sumbangan bakti luar biasa terhadap keselamatan dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) JBPM 2021 di Ibu Pejabat JBPM Pahang hari ini.

Jelas beliau, perkhidmatan awam khususnya perkhidmatan kebombaan dan penyelamatan perlu melangkah dengan lebih dinamik dan terkehadapan, selari dengan sifat dan tuntutan profesyen itu.

“Ia bagi memastikan kemasyuran jenama atau ‘brand’ Bomba, yang tersendirinya dipercayai, diterima dan diyakini oleh masyarakat, sebagai barisan hadapan, atau pelindung, penyelamat dan pengempur, kepada risiko kebakaran, ancaman bencana dan perubahan senario ‘hazard’ semasa,” tambahnya.

Katanya, ia sejajar dengan petunjuk yang diungkapkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah yang mahu perkhidmatan awam menjadi organisasi yang terus kekal relevan dan maju ke hadapan.

Menurut Mohammad Hamdan, anggota bomba tidak wajar bersifat reaktif semata-mata, sebaliknya harus mempunyai wawasan jauh ke hadapan untuk menghadapi cabaran yang bakal ditempuhi.

“Kejadian banjir buruk di Selangor dan Lembah Klang, pada penghujung tahun lalu merupakan pengajaran yang amat berguna kepada kita semua,” ujarnya.

Jelas beliau, ia merupakan cabaran dalam memenuhi jangkaan masyarakat terhadap perkhidmatan kebombaan dan penyelamatan.

Justeru, beliau menyeru semua pegawai dan kakitangan jabatan, untuk bersama-sama berpadu tekad, dan berganding bahu untuk merealisasikan perkhidmatan yang progresif, sentiasa menjadi pemudah cara dan dilengkapi dengan nilai integriti yang tinggi dalam setiap tugasan yang diamanahkan. – MalaysiaGazette