Norliza Abdul Rahim

KUALA LUMPUR – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun digesa lebih fokus kepada polemik yang lebih utama melibatkan wanita.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi dan Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, menteri Perikatan Nasional (PN) itu seharusnya lebih cakna dan bukan fokus kepada isu tular sahaja.

“Jangan keluar selepas isu viral sahaja. Isu Bella terutamanya menjadi tanda tanya apa tindakan susulan daripada YB? Rentetan kepada penubuhan Suruhanjaya Kanak-Kanak dilihat seperti tidak berfungsi. Saya mohon agar YB Rina lebih fokus kepada polemik yang lebih mendalam.

“Isu kanak-kanak dan wanita yang banyak hari ini terutamanya gangguan seksual dan keganasan rumah tangga perlu menjadi fokus utama sepatutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Norliza berkata demikian mengulas mengenai video tukar Rina yang tersenyum dalam video tular yang dianggap merendah-rendahkan kaum wanita.

Ia ekoran satu video yang dimuat naik Ahli Parlimen Titiwangsa itu yang memaparkan dirinya dan pegawai KPWKM bersama pelakon, Datuk Rosyam Nor yang mempersendakan golongan wanita dengan menggunakan ayat kurang sopan seperti “suka bangun lambat”, “wanita semua lambat” dan “aku nak belasah kepala korang”.

Dalam pada itu, Norliza turut menasihatkan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh supaya melihat video itu secara penuh dan berhenti menanam rasa kebencian dengan tidak menceritakan intipati dan matlamat video promosi itu dibuat.

“Namun apa yang berlaku itu benar ianya mengguris hati,” akui Norliza.

Beliau turut menasihatkan Rosyam agar menggunakan bahasa-bahasa yang lebih baik dan bukan merendah-rendahkan golongan Hawa.

Jelasnya, isu itu bukan sesuatu yang kecil di mana aktiviti merendah-rendahkan wanita  tidak elok dipraktikkan oleh sesiapa apatah lagi seorang selebriti seperti Rosyam.

“Nampak seperti isu kecil tetapi hati wanita ini mudah tersentuh. Benar jika wanita merajuk siapa yang akan pujuk tetapi kalau sudah tawar hati, wanita juga punya harga diri. Berhentilah menjadikan wanita sebagai bahan gurauan,” nasihatnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast