KUALA LUMPUR – Tindakan sesetengah pihak mencadangkan supaya kerajaan menetapkan harga siling atau mengawal sayur adalah tidak adil kepada para pekebun.
Ini kerana pasaran sayur-sayuran amat rumit, malah para pekebun juga tidak pernah menerima sebarang bantuan daripada kerajaan.
Justeru kerajaan tidak wajar untuk campur tangan, kata Ahli Dewan Undangan NegeriTanah Rata (Cameron Highlands), Chiong Yoke Kong.
Jelas beliau, kerajaan dan semua pihak perlu memahami masalah struktur yang dihadapi oleh para pekebun dan bukannya campur tangan dalam pasaran dengan sewenang-wenangnya.
Langkah campur tangan tanpa memahami masalah struktur sektor pertanian hanya akan memudaratkan pekebun sayur dan pengusaha sektor yang berkaitan.
”Harga pasaran sayur sememangnya agak sukar dijangka, termasuk pekebun sayur sendiri. Oleh itu, para pekebun sering menghadapi risiko yang tinggi kerana perlu menanggung kerugian yang tidak dapat dijangka.
”Sebagai contoh, harga bagi sayur berdaun di Cameron Highlands (seperti kobis, pak choy, daun saderi, sawi pahit, dan sebagainya) pernah meningkat secara mendadak pada bulan Mei tetapi menurun sejak bulan Jun.
”Sehingga awal bulan Julai, hasil sayuran berdaun berlebihan dan mengakibatkan harga sayuran tersebut jatuh bawah RM1 per kilogram. Sesetengah pekebun terpaksa “memusnahkan sayuran” kerana berhasrat meminimumkan kerugian,” katanya di sini.
Lagipun Yoke Kong berkata, apabila harga sayuran terlalu rendah, kerajaan tidak pernah memberi subsidi atau melaksanakan sebarang langkah bagi membeli sayur daripada pekebun sehingga menyebabkan pekebun sayur terpaksa menanggung kerugian sendiri.
Sewajarnya, pada ketika ini, kerajaan seharusnya memandang serius terhadap masalah struktur pekebun sayur terutamanya cabaran yang dihadapi oleh mereka semakin meningkat dalam zaman pasca Covid-19.
Antaranya, kos menghasilkan sayuran sering meningkat dan menyebabkan kenaikan dan penurunan hasil sayuran yang lebih drastik berbanding dengan dahulu.
Secara amnya, selain daripada faktor cuaca seperti hujan lebat dan cuaca extrem serta masalah serangan perosak, sektor pertanian juga menghadapi tiga masalah dan cabaran utama pasca Covid-19 yang mengundang kepada peningkatan kos untuk menghasilkan sayuran.
Pertama, sektor pertanian mengalami kekurangan pekerja yang serius dan kerajaan enggan mengambil pekerja asing tetapi pada masa yang sama, tidak mampu membekalkan tenaga kerja yang mencukupi kepada sektor-sektor ekonomi.
Keadaan ini mengundang kepada kemelut ekonomi kerana pengusaha pelbagai sektor ekonomi merebut tenaga buruh.
Dalam pada itu, sektor sawit dan pembinaan mampu menawarkan gaji yang lebih lumayan untuk menarik buruh kerana mampu menjana keuntungan yang lebih besar, menyebabkan ramai pekebun tidak mampu mengupah pekerja dan terpaksa mengurangkan operasi pertanian.
Akibatnya, produktiviti pertanian yang menurun turut memberi kesan kepada bekalan sayur dalam pasaran dan perubahan harga sayur.
Keduanya, sejak dua tahun lepas, harga bahan asas dalam sektor pertanian, seperti baja, racun perosak, benih, kotak dan sebagainya, meningkat secara mendadak sehingga 200% sejak berlakunya perang Rusia-Ukraine.
Kenaikan ini menambah buruk kemelut yang dihadapi oleh pekebun dan mengurangkan hasil rezeki berbanding dengan dahulu.
Ketiganya, oleh sebab kekurangan analisis, tafsiran, perancangan, dan sokongan berdasarkan Big Data, para pekebun tidak mempunyai informasi yang tepat dan lengkap bagi tujuan menilai risiko sebelum menanam sayur.
Disebabkan ini, para pekebun berkemungkinan akan menanam jenis sayur yang sama, maka hasil sayur akan berlebihan semasa musim menuai.
Menurut beliau, dei menstabilkan pasaran sayuran, kerajaan haruslah memandang serius dan mengatasi masalah struktur sektor pertanian.
Ini termasuk meningkatkan pertumbuhan logistik, membekalkan tenaga kerja yang cukup kepada pekebun, memberi subsidi kepada kos penghasilan produk pertanian seperti baja dan racun perosak, membina pangkalan data untuk Big Data, serta memberi bimbingan dan sokongan kepada para pekebun sayur demi mengurangkan risiko pasaran. – MalaysiaGazette