Pengerusi Kebangsaan DAP yang baharu, Lim Guan Eng (tengah) bersama Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok (kanan) dan Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran (kiri) ketika menziarahi mendiang bekas Presiden MIC, Tun S Samy Vellu sebagai penghormatan terakhir di kediamannya di Taman Kaya Batu 3, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 15 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Para pemimpin pembangkang khususnya DAP akan merindui mendiang Tun S.Samy Vellu yang telah menghembuskan nafas terakhirnya di sini hari ini.

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata, beliau dan rakan-rakan pembangkang  akan merinduinya sebagai seorang pemimpin yang vokal dalam memperjuangkan isu dan masalah semua lapisan masyarakat di negara ini.

“Saya merakamkan penuh takziah kepada keluarga Tun Samy dan juga final good bye kepada pemimpin berjuang tinggi, yang banyak berjasa kepada negara.

“Walaupun terdapat perbezaan ideologi politik sesama kami, dia mengambil berat tentang banyak perkara dan ada kala dia pernah menggunakan saya juga untuk dapatkan kelulusan untuk pembangunan masyrakat India dalam Kabinet.

“Saya masih dapat imbas kembali, dia pernah suruh saya bangkitkan isu komuniti India di Parlimen dan dia gunakan input itu untuk meminta peruntukan untuk masyarakat India dalam Kabinet,” katanya.

Sebelum itu, Guan Eng bersama para pemimpin DAP lain memberi penghormatan terakhir kepada mendiang di sini hari ini.

Turut bersamanya ialah M. Kulasegaran, Teresa Kok, Steven Sim dan Arul Kumar.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan itu menganggap Samy juga  tidak pernah menyimpan dendam sekiranya dikritik secara peribadi.

“Apabila saya menjadi ahli Parlimen pada 1986, dia sentiasa ada di sidang Parlimen dan saya gembira dia antara pemimpin yang merentasi era baharu dan kini hanya tinggal Tun Dr. Mahathir Mohaamd dalam legasi kami.

“Satu perkara yang saya perlu mengakui di sini adalah antara pemimpin Barisan Nasional MIC yang vokal dalam Kabinet berbanding pemimpin MCA,” ujarnya.

Dalam pada itu, Kulasegaran yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat berkata, Samy semasa menjadi menteri mengutamakan kawasannya di Sungai Siput.

“Jika dia jumpa kami di sidang Parlimen, dia akan bertanya sama ada masalah itu sudah selesai atau tidak, dia begitu bertanggungjawab dan serius terhadap sesuatu isu.

“Kami (pembangkang) akan sangat merindui dia (Samy Vellu),” katanya.

Samy Vellu meninggal dunia di kediamannya sekitar pukul  3.30 pagi hari ini di sisi keluarganya dan akan dikebumikan di Pusat Krematorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di Taman Pertama,  Jalan Kuari, Cheras pukul 4 petang esok.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob antara pemimpin utama Barisan Nasional yang hadir memberi penghormatan terakhir kepada mendiang hari ini.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast