Annuar (kanan) meninjau raptai Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir, Melaka, malam tadi.

MELAKA – Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan yang buat pertama kalinya diadakan di Melaka esok melakar sejarah tersendiri apabila bakal menyaksikan gabungan persembahan tradisi etnik di Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata, Melaka juga bertuah apabila menjadi negeri pertama di Semenanjung yang dipilih sebagai tuan rumah untuk meraikan acara itu secara besar-besaran selepas pandemik Covid-19.

“Dalam penganjuran kali ini, kita akan buat sedikit sebanyak penambahbaikan kerana ada tradisi-tradisi tertentu yang ingin kita kekalkan.

“Ia terutama sekali refleksi daripada gabungan tiga Wilayah Tanah Melayu (Semenanjung), Wilayah Sarawak dan juga Wilayah Sabah yang akan dihidupkan melalui konsep-konsep persembahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas meninjau raptai Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir di sini malam tadi.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Mohammad Mentek.

Mengulas lanjut, Annuar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk sambutan itu berkata, setakat ini, beliau berpuas hati dengan segala persiapan acara gilang-gemilang itu yang dilihat
mencerminkan keteguhan bersama Keluarga Malaysia.

“Malam ini (tadi) saya berpuas hati dengan susunan dan persiapan yang sudah 80 hingga 85 peratus siap dan tentunya menjelang esok (hari ini) ia sudah melebihi 90 peratus.

“Saya fikir idea yang ditonjolkan Melaka selaku tuan rumah ini adalah satu idea yang unik dan menarik, satu konsep yang boleh dikenang lama sesuai dengan Melaka sebagai sebuah bandar pelancongan,” katanya.

Annuar Musa

Tambahnya, pujian juga harus diberikan kepada Melaka kerana berani memperkenalkan konsep sambutan besar-besaran yang diadakan di luar bangunan setelah tiga tahun Hari Malaysia diraikan dengan sambutan secara tertutup.

Sejak tiga tahun lalu, Sambutan Hari Malaysia diadakan secara bergilir di Sabah dan Sarawak dengan kali terakhir diadakan secara sederhana di Kota Kinabalu, Sabah tahun lalu
yang menyaksikan sambutan kehadiran terhad yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

Sambutan Hari Malaysia kali ini dianggap unik apabila ia kerajaan negeri menggalakkan lebih 20,000 pengunjung yang dijangka hadir dengan berpakaian bertemakan era 1950-an dan 60-an sebagai simbolik penyatuan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang berlaku pada 1963.

Majlis sambutan esok akan bermula pada jam 8 malam dengan semua tetamu kenamaan iaitu Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam serta Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – MalaysiaGazette