Anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Melaka melakukan pemeriksaan sebelum menahan 21 pendatang tanpa izin (PATI) yang bekerja sebagai buruh binaan tanpa permit sah dalam serbuan di Ayer Molek, Melaka, malam tadi.

MELAKA – Tindakan 21 pendatang tanpa izin (PATI) bekerja sebagai buruh binaan tanpa permit sah mengundang padah apabila dicekup Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Melaka dalam serbuan di Ayer Molek di sini malam tadi.

Pengarah JIM Melaka, Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata, kesemua lelaki itu ditahan ketika sedang tidur di kawasan penempatan pekerja binaan dalam operasi bermula 12.30 tengah malam hingga 3 pagi.

Menurutnya, ia melibatkan 12 orang warga Bangladesh, Indonesia (tiga) dan masing-masing dua orang dari Myanmar berusia antara 23 hingga 47 tahun kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963.

“Ketika diserbu, semua mereka sedang tidur dan pemeriksaan mendapati, 21 daripada 232 orang gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah.

“Operasi selain seorang lelaki Bangladesh dan seorang warga Indonesia turut ditahan mengikut Seksyen 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas lawatan.

“Operasi dengan kekuatan 88 anggota dan pegawai kanan JIM turut menahan seorang lelaki Bangladesh dan Indonesia mengikut Seksyen 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas lawatan,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, kesemua tahanan dibawa ke Pejabat Imigresen Melaka, Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Ayer Keroh untuk
siasatan lanjut. – MalaysiaGazette.