KUALA LUMPUR – Parti-parti politik tidak patut untuk mencampuri urusan organisasi media di negara ini kerana ia adalah petanda tidak baik terhadap tanggapan kebebasan bersuara.
Itu pendirian Pakatan Harapan (PH) sebagai reaksi terhadap kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memberi jaminan berhubung kebebasan akhbar.
Dalam satu kenyataan bersama oleh bahagian komunikasi gabungan PH, jaminan tersebut diterima baik namun realitinya indah khabar dari rupa.
“Beberapa hari lalu, kita membaca mengenai pelantikan Pengarang Kumpulan akhbar New Straits Times (NST) yang baharu yang didakwa pelbagai pihak termasuk tokoh wartawan telah dibuat atas campur tangan politik.
“Ini satu perkara yang amat dikesali dan PH mengambil pendirian bahawa parti-parti politik tidak patut mencampuri urusan organisasi media terutama seperti yang kita saksikan ini.
“Ia adalah petanda tidak baik terhadap tanggapan kebebasan pelaporan serta agenda politik organisasi media tersebut kelak,” demikian menurut kenyataan yang dimuat naik di Facebook Parti Amanah Negara (Amanah).
Menurut kenyataan itu lagi, PH kesal dengan tindakan kerajaan melalui Timbalan Pendakwa Raya yang telah mendakwa dua pengamal media dari akhbar The Edge di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan iaitu jenayah fitnah.
Dakwaan itu katanya, berkait siri artikel yang diterbit The Edge berhubung jual beli saham murah (penny stock) yang dipercayai dimanipulasi pihak-pihak tertentu di Bursa Malaysia.
“Kami menuntut kerajaan untuk menarik balik dakwaan jenayah ini, dan jika pihak-pihak yang terkesan punyai keinginan mereka boleh memfailkan saman sivil terhadap media tersebut.
“Media memainkan peranan yang amat penting terutama dalam usaha semak imbang dan menjamin ketelusan urus tadbir termasuk dalam bidang ekonomi,” ujarnya.
Justeru kata kenyataan itu, jaminan Perdana Menteri perlu dizahirkan bukan sahaja di bibir tetapi melalui tindakan-tindakan yang selaras dengan jaminan tersebut. – MalaysiaGazette
penipu, pembohong mmg la PH. jangan sembang la macam suci sangat. masa perintah semua benda dia masuk campur. yang oercaya penyokong ph yang bangang je