Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed

KUALA LUMPUR – Polis menafikan sekeras-kerasnya dakwaan adanya layanan istimewa terhadap mana-mana tahanan termasuk melibatkan pegawai polis seperti didakwa dan tular di media sosial.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, tiada sebarang arahan atau kebenaran memberikan layanan seperti yang didakwa.

“Pemeriksaan juga sentiasa dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan ianya dipatuhi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jelas Arjunaidi, siasatan yang dijalankan mendapati gambar yang ditularkan diambil oleh seorang anggota yang merakamkan dari sudut yang menampakkan kipas angin dihalakan ke sel yang dihuni oleh pegawai polis tersebut.

“Kipas berkenaan adalah merupakan kipas yang dibekalkan untuk kegunaan anggota bertugas di ruang bersebelahan,” tambahnya.

Ekoran itu, seorang pegawai rendah polis berpangkat lans kopral berumur 28 tahun ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi, Seksyen 203A Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Sekali lagi saya ingin tegaskan bahawa PDRM tidak pernah memberikan apa-apa layanan istimewa kepada mana-mana tahanan di dalam lokap dan tidak akan berkompromi terhadap salah laku yang dilakukan oleh mana-mana pihak termasuklah Pegawai atau anggota PDRM sendiri,” tambahnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast