Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Bapa kandung kepada seorang pelakon remaja yang ditahan oleh Polis Daerah Klang Utara semalam sudah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya petang tadi bagi siasatan kes ugut dan pukul ibu pelakon tersebut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood yang mengesahkan penahanan itu berkata, lelaki itu ditahan jam 4.10 petang tadi untuk membantu siasatan laporan polis dibuat oleh bekas isterinya.

Siasatan itu mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah.

Lelaki berusia 43 tahun itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret esok untuk direman.

Sebelum ini, media melaporkan suspek ditahan pada 6 September lalu atas dakwaan melakukan gangguan seksual terhadap pelakon itu.

Penahanan itu dibuat selepas pelakon berkenaan membuat pendedahan tersebut di sebuah media sosial. – MalaysiaGazette