Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Pelancaran Pemuda Barisan Nasional di Stadium Titwangsa Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 17 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) sedang menunggu tarikh keramat pembubaran Parlimen daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ketika berucap di hadapan 10,000 orang Pemuda BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, jentera komponen itu sudah bersiap-sedia jika pembubaran Parlimen dibuat akhir tahun ini.

”Dari Sabah hingga ke Perlis kita tahu, kita sedang menunggu tarikh keramat pembubaran,” katanya.

Pengerusi BN itu berkata, walaupun beliau tahu ada kekangan kerana banjir dan hujan lebat diramal berlaku tetapi kalau Perdana Menteri mengumumkan pembubaran itu, jentera komponen itu sanggup redah banjir untuk turun berkempen.

Kira-kira 10,000 yang hadir semasa Pelancaran Jentera Pemuda Barisan Nasional di Stadium Titwangsa Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 17 SEPTEMBER 2022.

“Masa banjir, Pemuda, Wanita dan Puteri turun lebih ramai. Parti lain, mereka sanggup ke turun dan kempen masa banjir, sanggup ke kempen masa hujan lebat.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO mengakui Perdana Menteri sudah berbincang beberapa kali mengenai pilihan raya cuma tarikhnya belum diputuskan lagi.

“Jangan tunggu sesaat bila tiba masanya.

“PM, jangan bincang lagi, jangan tunggu lagi kerana di luar sana penghasut-penghasut sedang bekerja keras,” ujar beliau.

Tegasnya, di luar sana, penghasut-penghasut sedang mengadakan fitnah yang berbagai-bagai.

“Jangan tunggu budaya kebencian menumbangkan kita,” katanya.

Pada masa sama, Ahmad Zahid berharap Perdana Menteri mendapat ilham  tarikh terbaik PRU15 sebaik kembali daripada mesyuarat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) minggu depan.

“Saya mempunyai keyakinan terhadap PM beliau akan ke mesyuarat PBB tidak lama lagi…kita doakan beliau pergi dan balik dengan selamat carilah ilham tarikh PRU,”  tambahnya.