Presiden AMANAH, Mohamad Sabu berucap pada Konvensyen Nasional 2022 di Klana Resort Seremban, Negeri Sembilan. Foto MUHD NA'IM, 17 SEPTEMBER 2022.

SEREMBAN – Parti Amanah Negara (Amanah) mendakwa UMNO menjadi antara punca utama ketidaktentuan dan ketidakstabilan politik dalam negara ketika ini.

Presidennya, Mohamad Sabu berkata, ini kerana parti itu dilanda ‘Perang Dingin’ atau lebih tepat lagi adalah ‘Perang Saudara’ yang mana terdapat dua kumpulan pemimpn yang telah berpecah.

Menurut beliau, ia melibatkan kumpulan PM9 (Perdana Menteri Ke-9) yang dipanggil Kumpulan Menteri yang kini disebutkan Kumpulan Putrajaya dan sentiasa diasak oleh Kluster Mahkamah atau kini dipanggil Kumpulan WTC.

“Jelasnya, UMNO sememang antara punca utama ketidaktentuan dan ketidakstabilan politik dalam negara kita ini.

“Ya, sejak Langkah Sheraton, negara masih berada dalam krisis politik yang paling panjang dalam sejarah tanah air ini.

“Di samping dibelenggu krisis perebutan kuasa yang tidak berkesudahan ini, rakyat juga bergelut dengan krisis ekonomi dan kehidupan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Nasional Amanah di sini hari ini.

Turut hadir,  Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu berucap pada Konvensyen Nasional 2022 di Klana Resort Seremban, Negeri Sembilan. Foto MUHD NA’IM, 17 SEPTEMBER 2022.

Mohamad juga berkata, Amanah turut pelik dengan sikap UMNO selepas menumpaskan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk mendapat jawatan Perdana Menteri daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Jelas beliau, ini parti itu masih boleh lagi ‘bersekedudukan’ dan menjalinkan hubungan sumbang bersama PN di hadapan khalayak ramai dan terus bersama dalam sebuah Kerajaan Persekutuan.

“Namun kebencian mereka tidak dapat mereka sembunyikan kerana sebahagian daripada Menteri- menteri PN itu adalah mereka yang belot dan meninggalkan UMNO.

“Sebenarnya mereka bukan sahaja membenci kami pimpinan PH. Bahkan mereka lebih membenci ‘kawan-kawan baru’ mereka. Dengarkan ucapan-ucapan pimpinan UMNO menyelar PN-Bersatu atau sebaliknya Bersatu membelasah kepimpinan UMNO, semasa berkempen di Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor,” katanya.

Mohamad menambah, ahli-ahli Amanah ketika ini tidak perlu khuatir khuatir atau terlalu gusar dengan teka-teki tarikh pembubaran Parlimen.

Ini kerana jelas beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sendiri tidak tahu bila tarikh tersebut walaupun ketetapan Perhimpunan Agung UMNO mahukan Parlimen dibubar segera.

“Presiden UMNO mendakwa parti itu akan menang kalau pilihan raya diadakan segera. Yang pasti, rakyat tahu mengapa Presiden UMNO itu mahu segerakan Parlimen dibubar. Ini telah jadi rahsia umum.

“Kalau kita telah berkhidmat kepada rakyat dan membela nasib mereka, serta mempertahankan negara dari terus dirosakkan dan dimusnahkan oleh golongan Kleptokrat dan sekutu-sekutunya, maka jangan kita khuatir atau terlalu gusar dengan teka-teki tarikh pembubaran ini,” katanya. – MalaysiaGazette