Pengerusi MCA Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon berucap pada Majlis Perasmian Penutup Bengkel Latihan Pilihan Raya MCA Negeri Perak di MH Hotel, Ipoh, pada Ahad. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 23 OGOS 2026.

IPOH – MCA Perak berpandangan Barisan Nasional (BN) perlu bersedia menghadapi pilihan raya akan datang sebagai sebuah gabungan yang berdiri dengan kekuatan sendiri, tanpa membiarkan kerjasama politik mengaburkan identiti dan prinsip perjuangannya.

Pengerusinya, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan pengundi tidak keliru mengenai identiti, nilai serta tawaran BN kepada negeri dan negara.

“Bagi Negeri Perak, BN perlu bersedia menghadapi pilihanraya sebagai BN yang berdiri di atas kaki sendiri, jelas dalam identiti, yakin dalam kekuatan, berdisiplin dalam jentera dan berani membawa rekod sendiri kepada rakyat.

“Ini bukan bermaksud kita memusuhi sesiapa. Sebenarnya, kita tidak mahu membiarkan pengundi keliru tentang siapa BN, apakah nilai yang dibawa oleh BN dan apakah tawaran kita kepada negeri serta negara.

“BN mesti menjadi wadah dan pilihan bagi rakyat yang mahukan kemajuan tanpa ekstremisme, perubahan tanpa huru-hara dan perlindungan hak tanpa mengorbankan perpaduan. Itulah jalan tengah yang mesti kita ambil dan pertahankan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Bengkel Latihan Pilihan Raya MCA Negeri Perak di MH Hotel yang disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak di MH Hotel, pada Ahad.

Hadir sama, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Hang Soon yang juga Timbalan Presiden MCA berkata, cabaran terbesar dalam politik Malaysia hari ini ialah persoalan mengenai kerjasama dan persaingan politik.

“Senario politik semasa pula tidak menentu, saling curiga mencurigai, rapuh dan mengusarkan namun kita perlu menghadapinya dengan matang dan berani.

“Kerjasama mungkin berlaku mengikut keadaan, tetapi ia tidak boleh mengaburkan identiti, prinsip dan tanggungjawab kita kepada pengundi,“ ujarnya.

Katanya, BN sudah terbukti dan teruji sebagai sebuah keluarga besar yang menyantuni dan menyatupadukan semua kaum di Malaysia dengan parti-parti komponennya memainkan peranan untuk saling bantu-membantu dan lengkap-melengkapi di antara satu sama lain. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here