Keadaan sebuah inap desa yang dihuni 11 sekeluarga musnah akibat dihempap pokok tumbang di Taman Seri Telok Emas, Melaka, pagi tadi.

MELAKA – Seramai 20 penghuni termasuk 11 sekeluarga yang sedang bercuti di sini terselamat daripada dihempap pokok tumbang yang menimpa kediaman di Taman Seri Telok Emas, Melaka hari ini.

Mangsa, Mohd Syafiq Hamdan, 35, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4.15 pagi apabila dia terdengar bunyi dentuman kuat dari luar rumah selepas hujan lebat disertai ribut bermula pada jam 3.30 pagi.

“Sebelum itu, saya dengar pintu rumah inap desa yang disewa sejak semalam bagai nak pecah dipukul angin ribut menyebabkan kami 11 sekeluarga di dalam rumah hanya mampu berdoa.

“Tiba-tiba pada jam 4.15 pagi, saya terdengar dentuman amat kuat dari arah beranda dan cuba keluar namun hujan lebat disertai ribut dan kilat menyebabkan saya tak berani keluar untuk melihat apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambahnya, dia hanya berani keluar melihat keadaan kira-kira 20 minit kemudian selepas hujan reda dan terkejut melihat bahagian garaj rumah dihempap pokok sebesar dua pemeluk.

Mohd Syafiq Hamdan

“Saya terkejut bila melihat pokok sebesar itu di seberang jalan inap desa ini tumbang sehingga sebahagian dahannya menghempap bumbung garaj sehingga hampir mengenai dua buah kereta yang diparkir di situ.

“Mujurlah semua kami 11 orang daripada tiga buah keluarga terselamat dan dahan itu hanya terkena bahagian cermin sisi sebuah lagi kereta yang diletakkan di luar garaj,” katanya.

Tambahnya, nahas itu mengakibatkan semua mereka yang berasal dari Johor Bahru terpaksa mengubah perancangan untuk menziarahi ahli keluarga yang sakit pagi tadi.

Sementara itu, penduduk, Mohamad Rizuan Zainal Abidin, 39, berkata, kejadian pokok tumbang itu turut menyebabkan bahagian garaj, ruang tamu dan bilik utama rumahnya rosak dan dimasuki air hujan.

“Waktu kejadian itu sekitar 4 pagi, saya sedang membuat persiapan untuk berniaga di pasar tani berhampiran rumah sebelum dikejutkan dengan dentuman sangat kuat.

“Mujurlah kami empat sekeluarga termasuk dua anak berusia lima dan dua tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Hock Siang dan Mohamad Rizuan melihat keadaan rumah mereka yang rosak akibat dihempap pokok tumbang di Taman Seri Telok Emas, Melaka, pagi tadi.

Seorang lagi mangsa yang juga jirannya, Tan Hock Siang, 48, berkata, itu adalah kejadian pertama berlaku sejak tinggal di situ hampir 30 tahun lalu.

“Kerosakan pada bahagian bumbung rumah turut mengakibatkan rumah dimasuki air hujan selain kereta juga mengalami kerosakan kecil akibat terkena dahan.

Tan Hock Siang

“Saya harap pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat melakukan pemantauan terhadap semua pokok-pokok besar yang ditanam di tepi jalan kawasan perumahan ini bagi mengelakkan kejadian ini berulang,” katanya.

Sementara itu, tinjauan MalaysiaGazette di sekitar Alai, Kandang dan Duyong mendapati beberapa kejadian pokok tumbang menyebabkan ada laluan terhalang dan ditutup sepenuhnya bagi kerja-kerja mengalihkan pokok.

Dalam pada itu jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) negeri berkata, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat jam 11 pagi tadi dan hanya menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan.

Antara kawasan yang terjejas banjir kilat ialah Duyong, Bukit Duyong, Permatang Duyong, Semabok, Solok Bukit Baru Duyong, Desa Duyong, Bukit Godek, Taman Sri Duyong, Pengkalan Batu dan Bukit Bayan.

Tinjauan Malaysia Gazette di sekitar Alai, Kandang mendapati beberapa kejadian pokok tumbang menyebabkan ada laluan terhalang dan ditutup sepenuhnya bagi kerja-kerja mengalihkan pokok.

Bagi daerah Jasin, banjir membabitkan kawasan Kampung Kilang Berapi Utara, Kampung Merlimau Pasir, Kampung Merlimau Barat, Taman Seri Merlimau dan Taman Merlimau Megah.

Manakala daerah Alor Gajah membabitkan kawasan Dewan Undangan Negeri Durian Tunggal iaitu di Kampung Bukit Tambun dan Kampung Bukit Balai. – MalaysiaGazette