KUALA LUMPUR – Runtuhnya kepercayaan banyak pihak terhadap Pas hari ini disebabkan wujudnya kartel kecil yang dilihat mencorakkan parti itu.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik Fakulti Ekonomi Pentadbiran Universiti Malaya, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berpandangan, Pas perlu mengambil tindakan awal jika mahu memastikan parti itu kembali dipercayai dan menerima lebih banyak sokongan apatah lagi untuk Pilihan Raya Umum Kali Ke-15 (PRU-15).

“Kalau nak tangani masalah yang melanda Muafakat Nasional (MN) hari ini, formulanya mudah sahaja.

“Orang yang hijack dalam kapal (hubungan) tu, kena dikeluarkan. Pengkhianat-pengkhianat yang mengkhianati MN perlu ditamatkan riwayat politik,” katanya ketika menjadi panel program SKOP MG dengan tajuk MN, Masih Ada Harapan Ke? bergandingan dengan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki.

Mohammad Tawfik bagaimana pun berkata, perkara itu mungkin sukar untuk Pas lakukan kerana persahabatan yang ada di dalam parti itu serta pengaruh yang besar dimiliki oleh kartel-kartel berkenaan.

“Pas perlu membuat juga pembersihan parti walaupun ia agak sukar. Ini perlu dibuat sama seperti apa yang pernah dilakukan sebelum ini.

“Walaupun pahit, Pas perlu juga membuat pembersihan kepada pemimpin-pemimpin tersebut seperti mana yang berlaku kepada pemimpin-pemimpin yang keluar daripada Pas dan membentuk Parti Amanah Negara (Amanah).

“Jika ini berjaya dilaksanakan, MN akan terus kuat kembali dan pada waktu sama kerjasama politik antara Bersatu, UMNO dan Pas tidak akan ada masalah yang besar,” katanya.

Beliau berkata, Pas perlu bertindak segera biarpun ia agak sukar untuk dilaksanakan.

“Pas perlu segera kerana PRU15 boleh berlaku bila-bila masa sahaja.

“Kita hanya menunggu tarikh pembubaran Parlimen dan sukar bagi ketiga-tiga parti politik Melayu ini untuk bekerjasama tanpa ada persefahaman,” ujarnya.

Jelas Mohammad Tawfik, biarpun ketiga-tiga parti Melayu ini dilihat masih ada ruang untuk berdamai, tetapi dengan adanya musuh dalaman ditambah Pakatan Harapan (PH) sedang mengintai peluang untuk memecahkan kerjasama politik di antara ketiga-tiga parti ini, ianya semakin sukar.

“Dalam Bersatu sendiri ada pemimpin yang masih ada DNA PH, jadi mereka masih lagi terpesona dan terbawa-bawa strategi politik lama di dalam PH yang akhirnya merosakkan Kerjasama politik yang dibina oleh UMNO dan Pas,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, Pas boleh bertanding secara solo pada PRU15 tanpa ada jalinan kerjasama dengan mana-mana parti.

“Bertandinglah sebanyak mana kerusi yang Pas mahukan tanpa terikat dengan rakan-rakan yang lain.

“Kemudian, selepas PRU-15, duduk dan berbincang untuk membentuk sebuah kerajaan yang baharu.

“Tambah pula, tidak mudah untuk lompat melompat kerana sudah ada undang-undang yang menghalang mana-mana ahli Parlimen untuk keluar daripada parti,” katanya. – MalaysiaGazette