KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dijangka berdepan kesukaran mendapatkan kerusi-kerusi tradisi PKR pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ekoran prestasinya yang buruk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil berkata, keputusan PRN Johor menunjukkan MUDA gagal menarik sokongan pengundi.
Sebaliknya, kata beliau, UMNO yang sebenarnya berjaya mendapatkan sokongan pengundi muda di mana semua saluran pengundi muda dimenangi oleh Barisan Nasional (BN).
“Satu-satunya kerusi yang MUDA menang di Puteri Wangsa pun bukan pasal pengundi muda. Dia menang sebab undi DAP. Jadi, kenapa pula PKR nak beri kerusi kepada MUDA?” soalnya dalam sesi dialog bersama wakil-wakil penduduk di Subang Jaya semalam.
Rakaman video sesi dialog tersebut disiarkan dalam laman Facebook beliau hari ini.
MUDA mencatatkan prestasi yang sangat tidak memuaskan pada PRN Johor di mana parti itu hanya memenangi satu daripada tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya.
Sementara itu, Isham percaya komplikasi akan timbul sekiranya BN menerima Parti Bangsa Malaysia (PBM) sebagai parti komponennya.
Menurut beliau, BN kini mengambil pendekatan tidak campur tangan dalam urusan politik di Sarawak termasuk soal bertanding pada PRU-15 dan menyerahkannya kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Namun, Isham memberitahu, pemimpin kanan PBM, Larry Sng mungkin bertembung dengan calon GPS sekiranya beliau mahu mempertahankan kerusi Parlimen Julau.
“Kalau dia nak bertanding di Julau, nanti kita bergaduh dengan GPS pulak. Macam mana hubungan kita dengan GPS?” soalnya. – MalaysiaGazette