Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.- Foto AFFAN FAUZI, 19 SEPTEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Tarikh bagi Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) mungkin akan dibawa ke mesyuarat Kabinet pada Rabu ini, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia dilakukan kerana terdapat wakil semua parti dalam kerajaan sebelum beliau berlepas ke New York bagi menghadiri Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di Amerika Syarikat pada hari yang sama.

“Saya akan bawa dalam Kabinet juga. Apa yang disebutkan oleh semua pihak. Kalau Muhyiddin kata nak PRU15 cepat, tidak kira sebab, kita akan bincang dalam Kabinet kerana ada wakil dalam Kabinet. Ada wakil Bersatu, GPS dan UMNO,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas samada beliau akan membawa berunding mengenai tarikh PRU15 selepas merasmikan Dasar Tenaga Negara 2022-2040, di sini, hari ini.

Hadir pada majlis, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Adham Baba dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Menurut Ismail Sabri, perbincangan mengenai tarikh PRU15 yang dilakukan dengan jemaah Menteri mungkin lebih awal daripada perbincangan beliau dengan Top Five UMNO.

“Secepat mungkin, mungkin lebih mendahului daripada Top Five. Hari Rabu ini akan ada mesyuarat Kabinet sebelum berlepas ke UNGA,” katanya lagi.

Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu, beliau akan bertemu Top Five UMNO pada 30 September depan sebelum mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO diadakan.

Top Five UMNO merujuk kepada Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Perdana Menteri.

Jelas beliau, pada kebiasaan mesyuarat Top Five akan diadakan sebelum mesyuarat Biro Politik dan MKT UMNO.

“Saya belum dapat lagi tarikh tapi tarikh untuk MKT sudah ada iaitu 30 September depan. Mungkin petang itu kita akan bincang,” ujarnya.

Pada Rabu lalu, Ismail Sabri berkata, perjumpaan dengan Top Five UMNO bagi membincangkan mengenai tarikh PRU15 yang dijadual diadakan pada 17 September lalu ditangguhkan.

Ia dilakukan susulan penangguhan Mesyuarat MKT Khas yang sepatutnya diadakan pada hari sama. – MalaysiaGazette